HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 November 2008

Penyokong Rafidah sedia jumpa PM

Muda Mohd Noor


Kumpulan penyokong Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz sedia menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jika diminta berbuat demikian.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerja Wanita Umno, Datuk Faridah Abu Hassan menafikan desas-desus yang mengatakan mereka bercadang untuk menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya hari ini.

Mereka juga menafikan dakwaan yang mengatakan kumpulan penyokong Rafidah menunggu kepulangan perdana menteri dari lawatan rasmi lima hari ke Uzbekistan dan Turkmenistan malam tadi

Abdullah bersama isteri Datin Seri Jeanne Abdullah tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada jam 9.30 malam tadi.

Menurut Faridah, sehingga hari ini, belum ada sebarang jemputan dari perdana menteri.

Beliau juga mengatakan Rafidah tidak akan mengadakan sidang akhbar pagi esok seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Sebaliknya kata Faridah, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu akan mengadakan perjumpaan tertutup dengan para penyokong di kediamannya pagi esok.

Semalam, Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan bertanding mencabar Rafidah bagi jawatan tersebut.

Manakala hari ini, dalam satu kenyataan, Rafidah berkata beliau akan mempertahankan jawatan tersebut.

Menurutnya, terpulang kepada perwakilan untuk memilih siapakah yang bakal menerajui pergerakan tersebut Mac ini.

Selepas 191 bahagian selesai bermesyuarat, Rafidah mendapat 117 pencalonan untuk mengekalkan jawatannya.

Manakala Shahrizat yang juga penasihat hal ehwal pembangunan wanita dan sosial kepada perdana menteri, mendapat 73 pencalonan.

Tiada ulasan: