HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 November 2008

Mangsa samun maut akibat terjun tingkap

SINAR HARIAN


GOMBAK - Gara-gara mahu melarikan diri daripada tiga lelaki yang mahu menyamunnya, seorang wanita, Surya Indah, 35, maut setelah terjun dari tingkat dua sebuah rumah kedai di di Jalan 1/1 TB, Batu Caves, Central Point di sini, kelmarin.

Kejadian yang berlaku jam 9.10 malam itu berlaku apabila mangsa yang dipercayai menjalankan perkhidmatan urut tanpa lesen dalam keadaan panik untuk melarikan diri daripada disamun tiga lelaki berkenaan.

Sebelum kejadian, dua lelaki datang ke rumah urut berkenaan untuk mendapatkan khidmat mengurut sementara rakannya menunggu di ruang tamu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah (gambar) berkata, dalam masa sama suspek ketiga berada di luar sebelum meluru masuk ke dalam premis berkenaan dengan bersenjatakan parang.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa, pemilik perniagaan itu dan pekerjanya menyerahkan semua barang berharga miliknya,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, akibat ketakutan mangsa menyerahkan wang tunai RM90 dan sebuah telefon bimbit miliknya sebelum bertindak terjun melalui tingkap bilik sebelum terjatuh bersebelah kotak fius milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Mangsa yang berasal dari Medan, Indonesia mengalami kecederaan parah di kepala, pendarahan di telinga, dan lebam di badan telah dikejarkan ke Hospital Selayang, namun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan dari pekerja mangsa yang merupakan rakyat tempatan untuk membantu siasatan.

Mangsa yang sudah berkahwin mempunyai dokumen pengenalan yang sah, tetapi rumah urut yang diusahakan tidak mempunyai lesen perniagaan.

Polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 396 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bagaimanapun belum berjaya menangkap ketika-tiga suspek berkenaan.

“Polis giat menjalankan siasatan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: