HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 November 2008

Michael Jackson buktikan agama Islam benar - Nik Aziz

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU - Keputusan penghibur terkenal dunia, Michael Jackson, 50 menganut agama Islam baru-baru ini membuktikan agama berkenaan benar dan bukan rekaan manusia.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, agama Islam diterima oleh sesiapa sahaja termasuk superstar dunia setelah mendapat hidayah daripada Allah Taala.

"Islam sendiri tidak pernah memaksa sesiapa pun memeluk agama itu kerana ia merupakan agama yang benar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia Ke-83 di sebuah hotel di sini semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan penyanyi terkenal berkenaan memeluk agama Islam sebagaimana dilaporkan media semalam.

Penyanyi kontroversi Amerika itu menukar namanya kepada Mikaeel Jackson. Nama itu merupakan pilihannya sendiri. Mikaeel merupakan nama malaikat pemberi rezeki.

acko dibesar dalam lingkungan agama Kristian dikatakan mengambil keputusan menganut Islam semasa beliau menggunakan studio di rumah kawannya ketika merakamkan album baru.

Rakannya David Wharnsby seorang penulis lagu dan produser Philips Bubal menasihatkan beliau supaya memeluk agama Islam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tindakan Jackson itu membuktikan beliau tidak berpuas hati dengan agama yang dianutinya sebelum ini.

"Walau pun Jackson merupakan seorang penyanyi tersohor dunia, sudah tentu dia banyak membaca untuk mendapat maklumat berhubung kebenaran Islam.

"Memanglah dia tu penyanyi, semua orang kenal dia, tetapi tidak bererti dia tu menyanyi sahaja," katanya.

Beliau juga berharap penyanyi terbabit dapat mempromosikan Islam melalui tindak tanduk yang baik dan lirik-lirik lagu yang dapat memberi keinsafan kepada manusia serta mengakui kebesaran Allah.

Menurutnya, hanya agama Islam yang benar kerana diperakui oleh Allah Taala.

Kata beliau juga mereka yang sudah lama beragama Islam jarang mengambil peluang untuk mempromosikan agama itu kepada umum bagi menarik lebih ramai orang bukan Islam mendekati agama tersebut.

"Walau pun Islam tidak memaksa sesiapa memeluk agama suci itu, namun setiap dari mereka wajib berdakwah serta mempromosikannya kepada penganut agama lain.

"Kelantan sendiri tanpa disedari telah mempromosikan agama Islam dalam pentadbirannya seperti mengharamkan riba, menutup aurat, cuti dua hari dan pemberian manfaat kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas," katanya.

Beliau juga berkata, masyarakat bukan Islam termasuk Hindu pernah menjemputnya menyampaikan ucapan pada majlis anjuran mereka. - mj/mks. _

Tiada ulasan: