HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 Januari 2009

12 peneroka asyik lumba belangkas ditahan polis

MYMETRO


RAUB: Seramai 12 peneroka termasuk seorang wanita berusia antara 29 hingga 55 tahun dicekup ketika asyik bermain judi ‘belangkas’ di sebuah rumah di Felda Tersang Satu di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman, berkata mereka ditahan dalam serbuan Ops Dadu diketuai Inspektor Mohd Faizal Samsir kira-kira jam 2 pagi hasil maklumat awam.

Menurutnya, polis mengintip selama 15 minit sebelum menyerbu rumah berkenaan yang menjadi markas judi bagi peneroka dan merampas peralatan yang digunakan untuk berjudi termasuk wang RM111.

“Ketika ditahan, mereka asyik bermain judi dengan menggunakan lakaran ikan, belangkas, udang dan bintang di atas sehelai kertas putih dan menggunakan dadu yang juga berukir ikan, belangkas, udang dan bintang.

“Pemeriksaan mendapati seorang daripada peneroka terbabit pernah ditahan atas kesalahan yang sama pada September lalu, manakala pemilik premis itu juga pernah ditahan atas dua pertuduhan kesalahan sama,” katanya.

Beliau berkata, semua kaki judi disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman enam bulan penjara atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Manakala, pemilik premis pula disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(b) akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum tiga bulan penjara atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.

“Masyarakat diminta menjalankan tanggungjawab melaporkan sebarang kegiatan tidak sihat kepada polis seperti diamalkan dalam konsep kepolisan masyarakat dalam usaha membanteras gejala sosial.

“Sikap peka dengan persekitaran mampu membantu menangani kegiatan perjudian dan nombor ekor haram,” katanya.

Tiada ulasan: