MALAYSIA KINI
Tujuh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap dua pertuduhan mencederakan dua pemuda dalam tahanan, dalam kejadian berasingan di IPD berkenaan pada akhir tahun lalu.
Sarjan Mohd Shafiee Abdul Halim, Sarjan Mohd Diah Sulaiman, Sarjan Zulkiplly Taib, Koperal Abdullah Musa, Kpl Zamrin Zaid, L/Kpl Matila @ Saudi Ismail dan L/Kpl Nizam Abdul Wahab dari Bahagian Siasatan Jenayah, didakwa dengan sengaja mencederakan B. Prabakar, 28, di pejabat detektif, IPD itu dengan tujuan mendapatkan pengakuan daripadanya melakukan satu kesalahan menakutkan secara jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, lapor Bernama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di antara jam 10.15 malam 23 Disember hingga 3.30 pagi 24 Disember tahun lalu.
Untuk pertuduhan kedua, kesemua anggota polis berkenaan di tempat dan masa yang sama didakwa melakukan kesalahan serupa terhadap C. Solomon Raj, 18.
Mereka menghadapi kedua-dua pertuduhan berkenaan Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan pendakwa Raya Yaacub Chik menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 untuk setiap tertuduh, yang berumur di antara 35 hingga 45 tahun, bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Naguib Abdul Malik yang mewakili kesemua tertuduh itu berkata kesemua mereka sudah berkhidmat bersama pasukan polis di antara 15 hingga 25 tahun.
"Kesemua mereka ada keluarga untuk ditanggung dan saya mohon agar mahkamah memberi jaminan paling minimum dan berjanji mereka akan mematuhi segala prosiding di mahkamah nanti," kata Muhammad Naguib.
Hakim Zainal Abdil Kamarudin menetapkan RM5,000 jaminan untuk setiap tertuduh dan menetapkan 17 Feb untuk sebutan kes.
Zainal juga melarang kesemua tertuduh daripada meninggalkan ibu kota tanpa kebenaran mahkamah dan diingatkan tidak menganggu saksi-saksi dan pengadu sebagai syarat tambahan.
Kejadian mencederakan kedua-dua pemuda berkenaan, yang mendapat liputan media menyebabkan ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menubuhkan
pasukan khas untuk menyiasat dakwaan tersebut dan susulan daripada itu, tujuh anngota polis berkenaan ditahan malam tadi sebelum dihadapkan ke mahkamah hari ini.
Kesemua tertuduh membayar jaminan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan