HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Januari 2009

Bersih cabar Rashid seret ke mahkamah

Abdul Rahim Sabri


Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mengalu-alukan tindakan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak yang menfitnahnya secara peribadi sepanjang beliau mengetuai badan tersebut.

"Kita alu-alukan supaya dakwaan tidak berjawab akan didedahkan dalam mahkamah," kata setiausaha sekretariatnya Faisal Mustaffa kepada Malaysiakini.

"Bawa ke mahkamah, kita berpeluang untuk dapat jawapan (daripada dakwaan) yang tidak dijawab."

Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman hari ini dilaporkan sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan tersebut dan sedang mengumpulkan dokumen berkaitan untuk diteliti oleh peguamnya sebelum mengambil sebarang tindakan perundangan termasuk kepada anggota parlimen pembangkang.

Faisal menjelaskan pihaknya bagaimanapun tidak jelas isu atau alasan yang hendak dikemukakan untuk tindakan saman itu.

Tambahnya, semua kenyataan media yang dikeluarkan Bersih untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil berasaskan penyelidikan dan mendapat persetujuan daripada ahli-ahli jawatankuasa induk gabungan lebih 70 NGO, termasuk parti-parti pembangkang.

Jelasnya lagi, dakwaan-dakwaan Bersih terhadap suruhanjaya itu dan bekas pengerusinya berdasarkan fakta dan bukannya tuduhan melulu.

Tiada ulasan: