Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED dan MOHD JAMILUL ANBIA
PETALING JAYA: Dua penjenayah, termasuk seorang remaja yang baru menamatkan persekolahan, ditembak lebih lima das oleh polis selepas cuba melarikan diri bersama kereta BMW yang dicuri, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi, suspek berusia 21 tahun maut apabila satu peluru menembusi rusuknya manakala rakannya berusia 18 tahun dalam keadaan kritikal apabila satu tembakan menembusi kepalanya.
Kedua-dua suspek dipercayai dalang dan juga sebahagian daripada ahli geng samun remaja yang aktif melakukan kes pecah rumah serta rompakan berkumpulan sekitar ibu kota.
Sumber polis berkata, walaupun masih muda, remaja warga tempatan berkenaan dianggap berbahaya berikutan tidak teragak-agak mencederakan mangsa yang dirompak berdasarkan beberapa kes sebelum ini.
Menurutnya, dalam kes awal pagi semalam, dua suspek berkenaan dikejar oleh kereta polis yang mengesan mereka menaiki BMW berhampiran Taman Desa Subang, di sini.
“Suspek sebelum ini dilaporkan melakukan kes pecah rumah dan samun di sebuah kediaman di Selayang. Dalam kejadian rompakan bersenjatakan parang itu, suspek merampas pelbagai barang berharga milik seorang wanita selain melarikan kereta BMW yang diletakkan di perkarangan rumah.
“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis sebelum polis menubuhkan unit khas bagi menjejaki penjenayah berkenaan,” katanya.
Berdasarkan maklumat, tiga kenderaan dinaiki sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesan suspek berkenaan menaiki kereta mewah itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Hasnan Hassan, berkata menyedari mereka diperhatikan, suspek memecut laju kenderaan untuk melarikan diri.
“Selepas dikejar hampir 30 minit, suspek menuju ke sebuah lorong di kawasan rumah kedai di Taman Desa Subang, kira-kira 10 kilometer dari lokasi sebelumnya.
“Keengganan suspek menyerah diri menyebabkan polis mengepung kenderaan mereka dan melepaskan beberapa das tembakan amaran,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Menurut Hasnan, suspek yang panik kemudian merempuh sebuah sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) di lorong berkenaan sebelum mengundur kereta dan melanggar sebuah kenderaan polis.
“Melihat kereta polis remuk, mereka segera memecut kenderaan menuju ke simpang keluar kawasan berkenaan.
“Namun, dua kenderaan polis mengejar suspek dan melepaskan beberapa das tembakan, menyebabkan kereta dinaiki terbabas ke dalam longkang,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan kemudian mendapati seorang suspek dikenali sebagai Mohd Ebby Shah Mohd Junaid, 21, mati di tempat kejadian selepas tembakan mengenai rusuknya, manakala seorang lagi berusia 18 tahun yang belum dikenali cedera parah ditembak di kepala.
“Selain itu, polis menemui sebilah parang di dalam kenderaan terbabit dan siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menjalankan kegiatan pecah rumah dan samun kenderaan mewah sejak enam bulan lalu di sekitar Gombak serta Petaling Jaya.
“Polis percaya berjaya menyelesaikan 10 kes samun di dua daerah berkenaan dan kini memburu seorang lagi suspek, dipercayai ahli geng terbabit, untuk membantu siasatan,” katanya.
Hasnan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dan kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan