HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Januari 2009

Drebar teksi jual ganja

MY METRO


KUALA LUMPUR: Memandu teksi sambil menjual dadah. Itulah yang dilakukan seorang lelaki bersama teman wanitanya dan seorang rakan sebelum mereka ditahan dalam satu serbuan di Jalan Kuching di sini, awal pagi kelmarin.

Lelaki terbabit sanggup menyewa teksi untuk menjalankan kegiatan menjual dadah jenis ganja itu, bagaimanapun dia hanya menjualnya kepada pelanggan tetap yang sudah dikenali.

Malah, ketika serbuan, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan yang mengenai tayar teksi terbabit ketika dia cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisiten Komisioner Zakaria Pagan, berkata hasil pemeriksaan dalam teksi itu menemui lima kilogram ganja mampat yang disembunyikan.

“Polis menahan tiga suspek terbabit yang berusia antara 26 hingga 43 tahun dan pemeriksaan mendapati semua mereka positif dadah.

“Harga pasaran ganja yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, semalam.

Zakaria berkata, dalam dua lagi serbuan berasingan yang turut membabitkan kes pengedaran ganja, polis menahan dua lelaki di Bandar Baru Sentul, kelmarin manakala lima lelaki ditahan di sebuah rumah pangsa di Wangsa Maju, Jumaat lalu.

Dalam satu lagi serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, kelmarin polis menahan dua lelaki yang aktif menjalankan pengedaran dadah jenis heroin dan syabu.

Menurut Zakaria, hasil tangkapan dan pemeriksaan, polis merampas satu bungkusan plastik berisi ketulan dan serbuk kuning heroin seberat kira-kira 58 gram, 31 peket serbuk dan ketulan hijau heroin yang dianggarkan seberat 52.2 gram dan lima peket serbuk kristal syabu seberat 11.9 gram.

“Selain itu, polis turut merampas wang tunai RM900, dua buku bank, empat telefon bimbit, satu alat menghisap dadah serta alat penimbang dan juga plastik kecil.

“Nilai rampasan dadah ini dianggarkan berjumlah RM15,000,” katanya.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan dalam empat serbuan itu 12 orang dan mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: