Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menafikan dakwaan bahawa beliau merajuk atau berkecil hati kerana tidak terpilih sebagai calon parti itu dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini.
Katanya beliau tidak pernah berkecil hati walaupun umum mengetahui PAS telah meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon.
"Mana ada saya merajuk, dalam perjuangan tak ada soal merajuk," katanya kepada mStar Online.
Desas-desus yang mengatakan kononnya beliau merajuk mula timbul apabila tidak turut serta dalam kempen di Kuala Terengganu yang masuk hari keempat pada hari ini.
Mohamad Sabu merupakan bekas calon PAS pada Pilihan Raya Umum 2008 Mac lalu.
Bagaimanapun beliau memaklumkan akan bertolak ke Kuala Terengganu pada malam ini dan akan menyertai kempen hingga hari pilihan raya.
"Malam ini saya nak ke sana. Baru ada masa nak turun berkempen...InsyaAllah saya akan berada di sana sampai hari pengundianlah," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan mengadakan ceramah sewaktu berada di sana nanti, beliau berkata perkara itu terpulang kepada jentera pilihan raya PAS.
"Saya pun tak tau lagi, kalau ikut jadual mungkin ada ruang untuk saya...tunggulah kalau nak dengar (ceramah)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan