HALAMAN SANTAI

Rabu, 14 Januari 2009

Sepuluh doktor Aman Malaysia sedia ke Gaza

BERNAMA


PETALING JAYA: Sepuluh doktor, termasuk seorang pakar radioaktif sudah bersiap sedia untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan Aman Malaysia ke Gaza pada bila-bila masa yang sesuai.

Penyelaras Aman Malaysia Datuk Mukhriz Mahathir berkata selain bantuan ubat-ubatan pasukan ini akan menyediakan laporan khas kesan serangan rejim zionis Israel ke atas orang awam di Genting Gaza.

"Laporan ini akan diserahkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata Mukhriz kepada pemberita selepas majlis pelancaran Tabung Selamatkan Palestin Pemuda Umno Petaling Jaya Utara di sini malam ini.

Tabung itu dilancarkan Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Datuk Ikhwan Salim Sujak bagi mengumpul dana untuk membantu rakyat Palestin dalam tempoh dua minggu sebelum diserahkan kepada Aman Malaysia yang akan menghantar pasukannya ke Gaza.

Rejim zionis Israel yang menyerang Gaza sejak 27 Disember lepas didakwa menggunakan bom berangkai yang mengandungi bahan radioaktif fosforus putih dan "depleted uranium" yang mempunyai kesan radiasi jangka panjang kepada hidupan dan manusia. Mukhriz yang juga Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan NGO Pergerakan Pemuda Umno berkata laporan khas itu akan disalurkan terus kepada PBB melalui Meja Khas Mengenai Palestin di bawah badan dunia itu.

"Aman Malaysia adalah satu daripada 20 NGO di bawah cawangan khas PBB itu," kata Mukhriz yang juga Anggota Parlimen Jerlun.

Beliau berkata pakar radioaktif terbabit akan mengesan kesan radiasi di Genting Gaza sekiranya pasukan bantuan kemanusiaan itu dibenarkan masuk, manakala para doktor akan memberikan bantuan kecemasan kepada rakyat Palestin yang cedera selain menyampaikan bantuan ubatubatan yang akan disenaraikan pihak berwajib di Gaza.

Mukhriz berkata pemergian pasukan bantuan kemanusiaan itu jua bergantung kepada dana yang dikumpulkan dan semua sumbangan diterima akan disalurkan kepada Tabung Kemanusiaan Gaza.

Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang boleh menulis cek "Peace Malaysia" dan menghantarnya ke Sekretariat Aman Malaysia, Blok B13D2, Plaza Mont Kiara, No.2 Jalan Kiara, 50480 Kuala Lumpur atau deposit tunai ke akaun CIMB "Peace Malaysia" bernombor 14200007389058.

Tiada ulasan: