Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI, 11 MALAM]
KUALA LUMPUR: Sidang Khas Parlimen semalam secara sebulat suara - kedua-dua anggota kerajaan dan pembangkang mengambil ketetapan bersama mengutuk kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Genting Gaza, yang setakat ini telah meragut kira-kira 800 nyawa.
Dewan Rakyat yang bersidang selama kira-kira lapan jam bermula pukul 2.30 petang tadi bersetuju menerima 10 usul yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang antara lain mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel itu.
Selepas Dewan Rakyat ditangguhkan, Abdullah turut menyerahkan resolusi Parlimen Malaysia mengenai konflik kemanusiaan di Genting Gaza kepada Duta Palestin di Malaysia, Abdel Aziz Abou Ghosh.
Menerusi sidang khas hari ini, ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan bagi menyuarakan pandangan dan cadangan yang wajar diambil oleh kerajaan Malaysia bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat Palestin.
Dalam ucapan penggulungan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, amat wajar bagi kerajaan Malaysia berada di barisan hadapan bagi mengatur tekanan masyarakat antarabangsa untuk memaksa Israel tunduk kepada undang-undang antarabangsa.
"Inilah suatu penyatuan yang amat penting dan amat dihargai oleh rakyat Malaysia yang turut menyaksikan dan merasakan penderitaan di Gaza," katanya.
Tambah beliau, tindakan Israel yang memerangi Palestin bukan tatacara yang diterima oleh masyarakat dunia yang bertamadun.
"Dunia mengetahui bahawa Israel dibantu oleh kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dari sudut kewangan, senjata dan politik antarabangsa.
"Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah membuat resolusi 1860/09.
"Tetapi resolusi itu tidak bermakna lantaran AS memberi isyarat bahawa mereka berkecuali," katanya.
Jelasnya lagi, tindakan AS itu bermakna tentera Israel dibenarkan terus menerus melakukan kekejaman.
Rais juga berkata, dalam konteks ini, AS patut dikutuk bersama kerana menghalalkan pembunuhan yang dilakukan rejim ISrael ke atas rakyat Palestin.
Sementara itu, Abdel Aziz Abou Ghosh ketika ditemui berkata, beliau menyambut baik resolusi kerajaan Malaysia yang begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi masyarakat Palestin di Gaza.
Beliau berharap tindakan tegas kerajaan Malaysia ini dapat membantu menyelesaikan konflik berkenaan.
"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang sangat prihatin menyuarakan bantahan dan keprihatinan tentang apa yang dihadapi oleh rakyat Palestin.
"Saya juga berharap kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel dapat dihentikan dengan segera kerana semakin hari semakin ramai nyawa yang tidak berdosa terancam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan