BERITA HARIAN ONLINE
MELAKA: Seramai 22 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara dibuang kerja sejak tahun lalu sehingga Mac ini selepas Pasukan Petugas Integriti jabatan itu mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak menjalankan tugas mengikut peraturan, menyalah guna kuasa dan gagal hadir bekerja.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata anggota yang dikenakan tindakan itu merangkumi pelbagai jawatan manakala bagi peringkat tertinggi pula membabitkan jawatan Penolong Pegawai Penguatkuasa dan Pembantu Penguatkuasa.
Katanya, jumlah itu tidak termasuk 13 anggota yang dikenakan tindakan disiplin, enam daripadanya ditahan kerja, tiga diberikan amaran, dua digantung kerja manakala masing-masing seorang dikenakan tindakan turun gaji serta notis penyiaran di akhbar apabila didapati hilang tanpa dikesan.
Tahun lalu, 17 anggota dibuang kerja manakala sehingga Mac lalu pula, lima anggota, katanya.
“Kekerapan anggota dikenakan tindakan disiplin ini berlaku apabila JPJ mewujudkan Pasukan Petugas Integriti Oktober tahun lalu khusus bagi menangani masalah disiplin kakitangan hasil aduan diterima daripada orang ramai menerusi e-mel, surat serta berdasarkan laporan pegawai penyelia masing-masing.
“Pasukan ini akan bersidang dan memanggil anggota disyaki melanggar disiplin untuk memberi keterangan dan sekiranya ada kes, pasukan terbabit akan membuat laporan untuk diambil tindakan,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dekat sini, semalam.
Terdahulu, ketika merasmikan majlis penutup dan penyampaian sijil Kursus Asas dan Induksi Pembantu Penguatkuasa Gred N17 JPJ, beliau berkata, anggota JPJ yang didapati melakukan kesalahan dan penyelewengan tidak akan mendapat tempat dalam jabatan itu, malah tidak akan dilindungi jika kes mereka disiasat pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada majlis itu, seramai 353 anggota Pembantu Penguatkuasa menerima sijil masing-masing. Hadir sama, Pengarah JPJ negeri, Ismail Mohd Zawawi dan Pengarah Akademi JPJ Malaysia, Mohamad A Bakar.
Solah berkata, orang ramai yang tidak berpuashati atau menghadapi sebarang masalah ketika berurusan dengan JPJ boleh mengemukakan aduan menerusi laman web www.aduan@jpj.gov.my.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan