HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Jun 2009

Beberapa Tempat Di Kota Baharu Hadapi Gangguan Bekalan Air

BERNAMA


KOTA BAHARU -- Beberapa kawasan di sekitar jajahan ini dilaporkan menghadapi masalah tekanan air rendah dan bekalan air yang disalurkan oleh Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan AKSB, Hazwan Hassan berkata masalah gangguan itu disebabkan bekalan air untuk seluruh jajahan ini pada masa sekarang secara keseluruhannya mengalami peningkatan penggunaan yang mendadak.

"Ini telah menyebabkan sesetengah kawasan seperti Taman Pauh Panji, Kemumin, Pantai Cahaya Bulan, Sabak, Binjai dan di beberapa pinggir bandar Kota Baharu mengalami masalah tekanan dan bekalan yang tidak konsisten," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya AKSB telah berusaha untuk meningkatkan pengeluaran air ke tahap maksima tetapi ia masih belum mencukupi.

Katanya bagi membantu pengguna, AKSB telah menyediakan tangki air bergerak dan statik di tempat yang mengalami masalah air.

Hazwan berkata pengguna yang mempunyai masalah boleh menghubungi PINTAS di talian 1300-88-2572 bagi sebarang pertanyaan.

Tiada ulasan: