TV SELANGOR
Guru-guru sekolah agama kekolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dikehendaki menjalani beberapa kursus peningkatan pengajaran bagi membolehkan satu penyelarasan gaji dilakukan.
Menteri Besar, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim berkata, kursus berbentuk ilmiah itu akan dianjurkan oleh kerajaan negeri sebagai nilai tambah dalam profesion mereka.
Menurutnya, selepas mengikuti program itu, kenaikan gaji guru akan dilakukan, sesuai dengan kelayakan dan nilai tambah yang ada pada mereka.
Difahamkan, ketika ini gaji serta elaun guru-guru sekolah JAIS lebih rendah, berbanding guru-guru sekolah kebangsaan.
Beliau menambah,“Saya juga telah mencari jalan dan memikir bagaimana cara untuk memepertingkatkan pendapatan guru guru.Salah satu daripada usaha saya supaya mempelbagaikan kecekapan dan kemahiran guru supaya dengan cara itu,guru akan dilihat dari segi keupayaan mereka untuk memberikan nilai tambahan.Ini bererti guru akan diterima dan diberikan pamapasan yang bersesuaian dengan nilai tambahan yang diberikan oleh guru”.
Beliau menambah, golongan pendidik masa kini seharusnya mempersiapkan diri, mendidik generasi muda dalam era globalisasi yang lebih mencabar.
Berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi pagi tadi beliau berkata, pendekatan pendidikan sekarang jauh berbeza, berbanding zaman lampau.
Pada majlis itu, Tan Sri Khalid juga menyampaikan beberapa anugerah kepada guru-guru sekolah agama yang telah berkhidmat dengan cemerlang di negeri ini.
Anugerah Tokoh Guru Lelaki diberikan kepada Haji Sianid Mokim, manakala Tokoh Guru Perempuan dianugerahkan kepada Hajah Mutiah Haji Salleh. Kedua-dua mereka telah bersara.
Haji Slanid ketika ditemui melahirkan rasa terharu dan berharap guru-guru sedia ada sentiasa peka kepada keperluan pendidikan masa kini bagi meningkatkan keupayaan masing-masing.
“Guru perlulah mempunyai semangat untuk sentiasa menambahkan, meningkatkan ilmu pengetahuan dan mendalaminya semoga dapat menyelesaikan apa juga permasalahan dalam profesion perguruan kerana andai kata tidak mempunyai modal atau pengetahuan yang cukup,itu sudah tentu tidak dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna”,kata Tuan Haji Slanid selepas majlis berakhir.
Pada majlis itu juga, Tan Sri Khalid turut menyampaikan bantuan sebanyak 3.5 juta ringgit kepada 6 buah sekolah agama, sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk tujuan baikpulih.
Sekolah Rendah Agama Bukit Sentosa, Rawang pula menerima 4.5juta ringgit untuk membina bangunan baru sekolah berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan