HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Jun 2009

PAS Tiada Niat Sertai Umno Atau BN, Kata Nasharudin

BERNAMA


KUALA LUMPUR -- Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata kepimpinan tertinggi PAS tidak pernah berniat atau merancang untuk menyertai Umno atau Barisan Nasional (BN).

Nasharudin, yang bertanding untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti pada Muktamar PAS kali ini, berkata beliau percaya para anggota Dewan Pemuda PAS akan bersamanya untuk mempertahankan perjuangan parti itu.

"Saya menegaskan bahawa prinsip dan dasar Islam yang kita perjuangkan akan sekali-kali tidak berganjak, namun kaedah dan uslub (cara) boleh berubah," kata Nasharudin ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-50 di Markaz Tarbiyah PAS, Taman Melewar dekat sini malam ini.

Anggota Parlimen Bachok itu, yang dilihat mewakili suara golongan ulama akan ditentang dua naib presiden parti itu Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu yang dikatakan mewakili golongan "Erdogan" yang lebih liberal.

Nasharudin sebelum ini dikaitkan dengan perbincangan dengan kepimpinan Umno di bawah bekas presidennya Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai kerajaan campuran di negeri-negeri tertentu selepas pilihan raya umum lepas.

Dalam ucapan perasmian itu, Nasharudin turut menekankan kepentingan anggota parti mempertahankan konsep "syura" (keputusan kolektif) yang diamalkan parti itu dalam soal memberikan pandangan.

"Adalah menjadi kewajipan setiap pimpinan dan ahli mengikat dengan keputusan 'syura' jamaah walaupun dia mempunyai pandangan tersendiri," katanya.

Timbalan presiden PAS itu juga berkata imej PAS sebagai parti pembangkang perlu dijenamakan semula daripada parti yang membantah tindakan parti kerajaan kepada parti Islam yang bersedia mengambil alih kepimpinan negara dalam masa terdekat.

Muktamar Dewan Pemuda PAS berlangsung selama dua hari mulai malam ini hingga esok.

Muktamar Dewan Ulama dan Dewan Muslimat pula akan berlangsung selama sehari esok, diikuti Muktamar Tahunan PAS Ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, dari 5 hingga 7 Jun ini.

Tiada ulasan: