CYBER PIONEER/ HARIAN METRO
KUALA LUMPUR: Amalan sesat memuja patung supaya wajah kelihatan jelita selain menundukkan lelaki mendorong ramai wanita muda sanggup menjual akidah dengan membeli tangkal azimat Siam dipanggil patung puteri.
Tangkal yang mempunyai fungsi persis minyak pengasih bagi lelaki didakwa berkesan jika dipakai dengan niat 'mengikat' hati lelaki.
Difahamkan, penjualan patung tersebut yang mendapat permintaan tinggi, didalangi beberapa pengamal perubatan tradisional tempatan yang memasarkan patung tersebut dengan harga tidak kurang RM600 ($246) setiap satu.
Wanita tempatan yang membekalkan patung tangkal pengasih dan hanya mahu dikenali sebagai Kak Ani, berkata beliau ke Kuala Lumpur untuk menghantar 'bekalan' patung pengasih itu dua atau tiga kali sebulan.
'Patung ini saya bawa khas melalui seorang kawan di Thailand yang akan menghantarkannya ke sempadan negara setiap kali bekalan saya kehabisan. Tidak setakat patung itu, saya turut membawa masuk pelbagai jenis minyak pengasih serta besi pelaris dari negara itu.
'Semua benda ini diserahkan kepada saya dalam keadaan 'kosong' dan menjadi tugas saya seterusnya menjalankan upacara pemujaan khas di rumah untuk memasukkan 'isi' di dalamnya,' katanya.
Menurutnya, sehingga kini, lebih 1,000 tangkal pengasih itu dijual kepada pelanggan, terutama di kalangan wanita Melayu.
'Lelaki yang memandang si pemakai ini akan sentiasa rindu dan tidak lena tidur akibat teringatkan wajah wanita yang memakainya. Bagi mereka, wanita terbabit yang sebelum ini nampak hodoh di mata bertukar umpama primadona memukau,' katanya.
Sementara itu, pengamal perubatan Islam Darul Syifa Bangi, Encik Jufri Shamsuddin, berkata pemakaian apa jua jenis tangkal tetap dianggap berdosa besar dan perbuatan syirik, iaitu menyekutukan Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan