UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) kini menumpukan kepada usaha mengutip hutang para peminjamnya bagi mengatasi masalah pusingan modal yang dihadapi sekarang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, kutipan bulanan setakat ini hanya RM15 juta sedangkan ia memerlukan RM25 juta bagi menampung permohonan pinjaman baru.
Tambahnya, disebabkan masalah itu, 14,000 pemohon baru pada tahun ini membabitkan nilai permohonan RM170 juta terpaksa menunggu lama atau melalui proses penilaian ketat sebelum diluluskan.
"TEKUN mengalami masalah pusingan modal setelah mengeluarkan pinjaman RM360 juta tahun lalu berbanding RM120 juta pada 2007.
"Tahun ini, RM190 juta pinjaman diluluskan dari Januari hingga Mei. Jumlah sebesar itu tidak pula disokong dengan bayaran balik pinjaman memberangsangkan sehingga menimbulkan masalah kepada peminjam baru," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kekecewaan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendakwa menerima banyak aduan mengenai kegagalan pihak TEKUN menyediakan wang walaupun permohonan telah diluluskan.
Noh menambah, tumpuan mengutip hutang itu bagaimanapun tidak akan dijadikan alasan untuk tidak memproses sebarang permohonan pinjaman.
"Setiap permohonan pinjaman akan diproses. Cuma kelulusannya mungkin lebih lewat berbanding pinjaman pada tahun lalu," jelasnya.
Mengenai dakwaan Khairy mengenai adanya peminjam tidak dapat menunaikan cek TEKUN meskipun permohonan mereka diluluskan, Noh menafikan dakwaan itu.
Menurutnya, TEKUN tidak sekali-kali mengeluarkan cek jika mereka tidak meluluskan sesuatu pinjaman atau tidak mempunyai wang.
"Kami tidak akan beri kalau tidak ada duit. Setakat ini, tiada sebarang aduan diterima mengenai perkara itu. Jika benar perkara itu berlaku, sesiapa juga dialu-alukan untuk membuat aduan," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan