HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Jun 2009

Umno perangkap PAS isu kerajaan perpaduan - Nik Aziz

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu berkaitan kerajaan perpaduan yang diriuh rendahkan sekarang hanya sekadar kenyataan peribadi pemimpin tertentu yang tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat.

Katanya setakat ini tiada sebarang kertas agenda yang dibawa dalam mesyuarat PAS atau bersama Pakatan Rakyat.

Oleh itu kata beliau isu tersebut tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan PAS kerana ia merupakan satu padangan peribadi pemimpin tertentu sahaja.

"Kerana itulah pemimpin Pakatan Rakyat pun tidak tahu, begitu juga dengan pemimpin PAS yang lain. Jadi bagaimana nak hubungkaitkan dengan PAS berhubung isu kerajaan perpaduan.

"Bawalah dulu benda itu dalam mesyuarat parti, kemudian dalam Pakatan, kalau PAS dan Pakatan Rakyat bersetuju lainlah masalahnya.

"Ini dengan Pakatan tidak dibincang dalam parti pun begitu juga, macamana kita nak proses benda ni.. sebab tu saya kata benda ni direka oleh boneka Umno," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, kalau semua pihak setuju, maka setiap wakil sama ada dari PAS, KeADILan dan DAP mungkin ada yang bakal menjadi menteri.

Kata beliau sekiranya perkara itu boleh berlaku barulah benar-benar dikatakan sebagai kerajaan perpaduan.

"Tetapi apa yang berlaku ini perpecahan. Umno sekarang sedang berpesta. PAS dah masuk perangkap. PAS sesama PAS dah nampak macam nak berpecah dah.. bercelaru.

"Begitu juga PAS dengan Pakatan Rakyat juga nampak bercelaru. Ini bererti mereka menganggap telah berjaya memecah belahkan PAS.

"Tetapi Alhamdulillah dapat dibendungkan dengan kenyataan saya sebelum ini," tambahnya.

Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dilaporkan percaya PAS ikhlas untuk berbincang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetus presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. - mj _

1 ulasan:

Lancang Biru berkata...

Siapa sebenarnya yang tengah takut sekarang? Tentu sekali golongan Erdogan dalam PAS apabila komen DS Najib mengenai kerajaan perpaduan disambut dengan kenyataan politik yang begitu baik oleh Ustaz Nasarudin Mat Isa.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh UMNO telah merosot tetapi menyimpulkan bahawa UMNO sudah nazak dan hampir berkubur memang tak masuk akal sekali. Buatlah kita kira-kira dalam kepala otak sikit. Berapa kerusi Melayu dari parti PAS+PKR dalam Parlimen dan bandingkan dengan jumlah kerusi UMNO? Bagimana dengan analisa pola pengundian di Bukit Gantang baru-baru ini? Calon PAS menang sebab undi kaum bukan Melayu. Undi Melayu sebenarnya makin bertambah kepada calon UMNO.

Kalau nak tunggu UMNO tersungkur baru nak berkerjasama mempertahankan Melayu, maka pada masa itu kita semua sudah terlambat. DAP dengan sokongan bukan Melayu dalam PKR pada ketika itu sudah jadi seperti kadok yang dah dapat naik junjung. Maknanya nasi sudah jadi bubur.

Kalau mahu menegakkan Islam maka inilah masanya sebab UMNO dalam keadaan sedikit lemah dan memang bersedia berkongsi kuasa. Jangan harap lah Islam akan dapat ditegakkan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat. Bagi pandangan saya, seburuk-buruk pun hati keluarga sendiri (UMNO) tidaklah seburuk hati dan perangai orang luar (DAP).

Islam akan hanya dapat tegak di Malaysia dengan sokongan majoriti orang Melayu/Islam di Malaysia. Ingat, tanpa sokongan ahli UMNO, PAS tidak punyai cukup korum untuk memerintah. Bahkan jika ahli-ahli UMNO dikafirkan dan ditolak oleh PAS, ahli dan penyokong PAS merupakan golongan minoriti dalam negara ini.

Kalau dah golongan jadi minoriti, macam mana nak dapat cukup undi bagi menegakkan Islam di Malaysia? Nak harap sokongan Kelab Penyokong PAS? Bila ahli-ahli kelab ini dah nampak bahawa golongan bukan Melayu sudah ada kekuatan sendiri, ingat mereka akan terus sokong PAS. Mereka ini orang berniaga lah beb, semuanya termasuk kesetian bagi mereka punyai harga dan boleh dijual beli pada bila-bila masa. Berangan saja lah orang-orang PAS jika terus mengharap mereka akan bersama PAS selama-lamanya.

Kalau iapun benci yang teramat sangat kepada UMNO, takkan lah sampai tak boleh bercakap dan berunding. Tiada persetujuan selepas berunding tak menjadi hal sangat tapi yang penting kita berlapang dada dan membuka minda semasa berbincang.

Harapan saya kita semua diberikan hidayah oleh Allah subhnawataala. Fikirkan lah yang terbaik untuk umat Islam dan masa depan kita di tanah air tercinta ini. Inilah satu-satunya tanah air kita, tiada dua dan tiada tiga. Salam.

Lancang Biru