HALAMAN SANTAI

Jumaat, 12 Jun 2009

Wujudkan pusat ICT di kawasan pedalaman: Tengku Abdullah

BERNAMA


KUALA LIPIS: Kerajaan diminta mewujudkan lebih banyak pusat teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di kawasan pedalaman dan luar bandar bagi membolehkan rakyat di kawasan terbabit mendapat maklumat terkini dan semasa.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata dengan adanya pusat maklumat seumpama itu rakyat juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai dasar pembangunan yang dilaksanakan pihak kerajaan.

"Kewujudan pusat teknologi maklumat (IT) itu juga secara tidak langsung akan memahirkan dan melahirkan lebih ramai penduduk di kawasan terbabit celik IT sekali gus mendekatkan mereka dengan dunia luar.

"Dalam zaman serba canggih dan moden ini segala kerja dan maklumat perlu pantas dan tepat, jika tidak kita akan tercicir daripada arus pembangunan," titah baginda ketika mengadakan perjumpaan bersama penduduk kampung Bantal, di Hulu Tembeling, di sini, hari ini.

Baginda bertitah, menerusi pusat ICT itu, maklumat terkini dan tepat dapat disalurkan dengan lebih cepat, dan ia dilihat sebagai platform bagi kerajaan menangani isu-isu yang cuba dikelirukan pihak-pihak tertentu.

Pada perkembangan lain, Tengku Abdullah turut mengingatkan rakyat supaya mengukuhkan perpaduan bagi memastikan negara terus aman dan makmur.

"Perpaduan dan kerjasama erat antara satu sama lain tanpa mengira etnik perlu dipertingkatkan bagi membantu kerajaan meningkatkan ekonomi negara," titah baginda.

Tiada ulasan: