KUALA
LUMPUR: DAP bersungguh-sungguh mahu mengadakan Pilihan
Raya Kerajaan Tempatan bagi memastikan perkhidmatan kepada masyarakat
setempat terjamin dan memuaskan.
Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar berkata, sistem
melantik ahli majlis tanpa pilihan raya hanya akan menyebabkan mudah
berlaku penyalahgunaan kuasa politik.
“Kaedah pemilihan secara terus yang diamalkan Barisan
Nasional (BN) hanya sebagai alat untuk mendorong ahli parti menyokong
dan setia kepada BN.
“Pemimpin di peringkat akar umbi boleh diperalatkan oleh
pemimpin BN dengan memberi janji jawatan Ahli Majlis kepada mereka dan
ia menjadi pendorong memastikan kemenangan BN,” jelas Siva.
Timbalan Pengerusi DAP Perak itu berkata, keadaan
campurtangan politik ini menyebabkan masyarakat setempat akan terus
menghadapi masalah.
“Ahli majlis yang dilantik itu hanya menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin politik yang memilih dan melantik mereka.
“Mereka tidak pedulikan rakyat yang amat bergantung dan
mengharapkan kerajaan tempatan yang terbabit secara langsung dalam
aktiviti harian dan persekitaran mereka. Itu sebabnya kita jarang sekali
nampak batang hidung ahli majlis yang dilantik di kawasan kita,” kata
beliau.
Dalam kenyataan berlainan, Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk
Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz pula menekankan betapa pentingnya pelantikan
ketua kampung berdasarkan kelayakan.
“Saya bukan mahu merendahkan ketua kampung tetapi ramai di kalangan mereka bermutu rendah,” ujar beliau.
Katanya, dengan melantik ketua kampung yang berpendidikan
dan berkelayakan sekurang-kurangnya diploma, mutu perkhidmatan
masyarakat di peringkat kampung dapat dipertingkatkan.
“Ketika dalam UMNO dulu lagi saya menyarankan jawatan ketua
kampong diisi dengan pegawai kerajaan sepenuh masa yang
sekurang-kurangnya ada diploma.
“Mereka akan duduk dalam kampong dan mentadbir satu
rangkaian atau cluster tiga hingga empat kampung manakala jawatan
penghulu pula dipenuhi mereka yang berkelayakan lebih tinggi,” kata Mohd
Ariff.
Menurutnya, perkara ini akan mengurang politik ketua
kampong dan penghulu sekaligus dapat menyelamatkan masyarakat daripada
berpecah belah.
“Tapi pemimpin UMNO tidak mahu ini semua. Mereka mahukan
ketua kampung yang mereka pilih demi menjaga kepentingan politik mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan