HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Disember 2013

2014: ‘Tahun harga naik’ tambah derita mangsa banjir

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Kini para mangsa banjir di Kuantan sedang bertungkus lumus memulakan hidup baru setelah banjir berlalu pergi.

“Alhamdulillah gelombang kedua seperti yang diuar-uarkan tidak sebesar gelombang pertama,” ujar Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan dalam catatannya mengenai banjir yang melanda Kuantan, baru-baru ini.

Secara puratanya, kata beliau setiap rumah yang terlibat dengan banjir membuang sampah sekurang-kurangnya 1 tan.

“Sedih apabila melihat hanya sedikit harta yang terselamat. Pakaian, perabot, makanan, barangan elektrik hampir keseluruhannya musnah. Masing-masing termenung memikirkan wang yang diperlukan bagi menyempurnakan kehidupan,” ujarnya lagi.

Baginya, derita itu ditambah dengan tahun 2014 yang digelar sebagai ‘tahun harga naik’.

Menurutnya, pelaksanaan sepenuhnya kadar gaji minimum RM900 menyebabkan segala bentuk perkhidmatan dan barangan turut mengalami kenaikan kos.

Kos itu, ujarnya akan ditanggung oleh pengguna. Belum lagi bercerita berkaitan dengan harga gula (bagi sesiapa yang bukan pesakit diabetes), minyak petrol dan diesel (bagi mereka yang berkenderaan) dan kenaikan tarif elektrik (bagi yang menggunakan bekalan elektrik) amat-amat dirasai oleh warga Kuantan.

Tulisan penuh sebagaimana di bawah.

Politik bencana banjir: Sebelum dan selepas

Catatan ini adalah satu pemerhatian hasil perbualan dan pergaulan dengan pelbagai lapisan umat yang menjadi mangsa banjir di Kuantan baru-baru ini. Perkongsian masalah dan analisa para penduduk Kuantan yang rencam dengan pelbagai latar belakang dan sudut pandang menjadikan catatan ini bukanlah sesuatu yang muktamad.

Bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini mengundang beberapa perbincangan yang menarik. Bermula dari peringkat awal air membanjiri Kuantan khususnya sehinggalah kini apabila bantuan pasca banjir mula digerakkan. Ramai yang tidak menyangka bencana yang saban tahun melanda negeri-negeri Pantai Timur akan menjadi seburuk ini.

Penulis yang telah menetap di Kuantan selama kira-kira 11 tahun juga pada mulanya tidak menyangka banjir kali ini adalah satu tragedi yang begitu buruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Hujan yang mula turun mencurah-curah selama 3 hari mengakibatkan paras air sungai di sekitar Kuantan mulai naik dengan lajunya. Ban yang baru dibina di kawasan perumahan Sungai Isap sudah tidak dapat menahan air yang begitu banyak dan deras.

Jika banjir pada tahun 2001 dahulu, hanya kawasan Sungai Isap sahaja yang teruk ditenggelami air, kini ia melimpah sehingga ke kawasan Taman Guru, Kampung Belukar, Kampung Razali sehingga ke Kolej Islam Pahang (KIPSAS). Usaha yang dilakukan penduduk mengalihkan kereta ke jalan utama (Kuantan – Gambang) sia-sia, kerana air turut melimpahi jalan. Apabila pencawang-pencawang TNB mula ditenggelami air, bekalan elektrik diputuskan.

Akibatnya, stesen-stesen minyak tidak dapat beroperasi begitu juga dengan perkhidmatan bank turut tergendala. Hampir semua lampu isyarat di Bandar Kuantan tidak berfungsi. Terputusnya bekalan air memburukkan lagi keadaan. Mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan terpaksa bergantung kepada air-air minuman dalam botol.

Begitu juga dengan mereka yang berada terperangkap di rumah masing-masing. Ahli keluarga di luar Kuantan mulai cemas kerana terputus hubungan dengan keluarga yang mendiami kawasan banjir. Ini kerana telefon bimbit tidak dapat berfungsi disebabkan baterinya telah kehabisan kuasa.

Suasana di pusat-pusat pemindahan juga kelam kabut. Ini kerana persediaan hanya bagi menampung beberapa ratus mangsa banjir seperti tahun-tahun sebelumnya. Apabila ribuan menyerbu pusat-pusat ini segala bekalan tidak mencukupi.

Begitu juga dengan tenaga pengendali. Sementelah kaki tangan kerajaan yang berkhidmat dengan jabatan-jabatan yang berkaitan bantuan banjir juga turut menjadi mangsa kali ini. Oleh itu amatlah tidak adil jika kesalahan ditujukan kepada jabatan kerajaan di Kuantan apabila bencana ini melanda.

Namun kita percaya dengan penyelarasan yang baik, kaki tangan kerajaan boleh digerakkan dari seluruh negara untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan. Ada yang melihat bot jabatan kerajaan tertambat tidak digunakan kerana pemandunya juga turut sibuk menyelamatkan keluarga.

Apabila usul darurat dibawa oleh YB Ahli Parlimen Kuantan ke Dewan Rakyat dan ditolak, bencana kali ini mula bermain dalam gelanggang politik. Tambahan pula para pemimpin dan perwakilan UMNO sedang sibuk dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Tuduhan melulu terhadap YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan yang mengatakan beliau tidak turun dan mempedulikan kawasannya sebenarnya, menjadikan beliau wira dalam kalangan penduduk Kuantan.

Ini kerana beliau telah turun awal-awal lagi dan berita mengenainya telah tersebar menerusi media maya. Ditambah dengan kalimah ‘bangsat’ yang terhambur keluar dari Ketua Wanita UMNO menambahkan lagi kemarahan warga Kuantan.

Itu belum lagi ketewasan pelbagai skuad yang dilancarkan oleh para pemimpin negara kepada Yayasan Amal. Skuad-skuad ini tidak dapat dirasai kehadirannya dengan berkesan oleh mangsa banjir berbanding dengan para sukarelawan Yayasan Amal ini.

Tidak cukup dengan itu, bantuan yang lambat tiba dan tidak mencukupi menambah luka di hati para penyokong parti pemerintah. Maka tidak hairanlah apabila ada yang mengisytiharkan keluar parti dan beralih arah di Tanah Putih Baru kerana kecewa dengan kesungguhan dan janji-janji yang ditaburkan sebelum pilihanraya yang lalu.

Walau pun berkoyan-koyan bantuan tiba dari UMNO setelah banjir surut ia seperti sudah terlewat. Rakyat mahukan pemimpjn bersama mereka ketika mereka dalam kesusahan.

Tambahan pula bantuan yang tiba itu diagihkan secara berpilih dengan keutamaan kepada para penyokong UMNO. Keadaan ini diburukkan lagi apabila para sukarelawan yang kurang rasa amanah, menyebabkan ada sumbangan yang gagal disampaikan kepada mangsa dan agihannya tidak merata.

Bantuan banjir menjadi seperti pilihanraya. Parti-parti politik sibuk mengibarkan bendera masing-masing membawa bantuan dengan harapan dapat menambat hati mangsa atau sekurang-kurangnya mangsa tahu parti mereka juga turut sama prihatin dalam bencana kali ini.

Adalah diharapkan persaingan sebegini terutamanya bagi bantuan pasca banjir tidak melepasi batasan ‘fastabik ul-khayrat’ dengan meletakkan syarat-syarat tertentu atau ada mangsa banjir yang dinafikan haknya.

Bantuan yang menggunakan wang rakyat hendaklah dikembalikan kepada rakyat yang berhak bukan bersyarat kepada sikap dan pendirian politiknya.

Kini para mangsa banjir sedang bertungkus lumus memulakan hidup baru setelah banjir berlalu pergi. Alhamdulillah gelombang kedua seperti yang diuar-uarkan tidak sebesar gelombang pertama.

Secara puratanya setiap rumah yang terlibat dengan banjir membuang sampah sekurang-kurangnya 1 tan. Sedih apabila melihat hanya sedikit harta yang terselamat. Pakaian, perabot, makanan, barangan elektrik hampir keseluruhannya musnah. Masing-masing termenung memikirkan wang yang diperlukan bagi menyempurnakan kehidupan.

Derita ini ditambah dengan tahun 2014 yang digelar sebagai ‘tahun harga naik’. Pelaksanaan sepenuhnya kadar gaji minimum RM900 menyebabkan segala bentuk perkhidmatan dan barangan turut mengalami kenaikan kos.

Kos ini akan ditanggung oleh pengguna. Belum lagi bercerita berkaitan dengan harga gula (bagi sesiapa yang bukan pesakit diabetes), minyak petrol dan diesel (bagi mereka yang berkenderaan) dan kenaikan tarif elektrik (bagi yang menggunakan bekalan elektrik) amat-amat dirasai oleh warga Kuantan. Mungkin hanya kenaikan kadar tol tidak begitu dirasai oleh penduduk Kuantan kerana laluan LPT sahaja yang mengenakan tol.

Maka jika dicongak politik banjir ini, berasaslah kebimbangan yang disuarakan oleh YB Datuk Nur Jazlan Mohamed, Pengerusi PAC,yang menjangkakan BN akan mengalami kekalahan lebih teruk di kawasan bandar. Ditambah dengan pandangan Dr Ridhuan Tee Abdullah yang memberikan amaran bahawa pengundi Melayu mungkin akan beralih arah akibat kenaikan harga tol.

Mungkin ada pihak yang menafikan kenyataan ini, tetapi sekurang-kurangnya riak-riak di kawasan parlimen sekitar Kuantan seperti Parlimen Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar sudah mula menunjukkan tandanya. Sebagai aktivis umat, banjir atau bencana kini, boleh dijadikan salah satu faktor yang memberi impak politik.

Tiada ulasan: