HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Disember 2013

Selepas tragedi The Heat, wartawan veteran cadang tubuh Persatuan Wartawan Portal

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

V Anbalagan semasa menyampaikan ucapan di forum Gerakan Media Marah yang berlangsung malam tadi. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 28 Disember, 2013. 



V Anbalagan semasa menyampaikan ucapan di forum Gerakan Media Marah yang berlangsung malam tadi. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 28 Disember, 2013.Bekas Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) V Anbalagan menggesa satu persatuan bagi melindungi wartawan portal ditubuhkan setelah akhbar mingguan berbahasa Ingggeris, The Heat berdepan tindakan penggantungan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) minggu lepas.

Katanya, kebanyakan ahli NUJ sebelum ini berasal daripada media cetak dan secara umumnya tidak menyokong usaha yang digerakkan bagi mempromosikan kebebasan media di Malaysia.

“Kebanyakan ahli NUJ datang daripada media cetak. Kita tiada ahli daripada media elektronik mahu pun media baru. Apa yang menjadi masalah adalah media tersebut (cetak) tidak menyokong usaha kami tetapi yang paling banyak memberikan sokongan adalah portal berita.

“Apabila saya menyertai portal berita The Malaysian Insider, saya sedar wartawan portal harus mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Wartawan Portal Malaysia bagi memastikan kebebasan media. Dengan apa yang berlaku kepada The Heat, portal berita boleh menjuarai isu sebegini,” katanya dalam satu forum ‘Bebaskan Media’ yang diadakan di Kuala Lumpur malam tadi.

Forum yang dianjurkan oleh Gerakan Media Marah (Geramm) itu turut membarisi pengasas bersama Malaysiakini Steven Gan, Ketua Wartawan Free Malaysia Today G Vinod, wartawan Reporters Without Borders Hata Wahari, aktivis media Masjaliza Hamzah dan kartunis Rona Sina. Moderator forum ini adalah Zakiah Koya, wartawan kanan FZ.com.

Dalam forum itu, Geramm mengumumkan satu bantahan terhadap penggantungan The Heat akan diadakan pada 4 Januari yang dinamakan bantahan Pensil Merah di mana peserta dikehendaki mematahkan pensil sebagai bantahan terhadap siri pencabulan kepada organisasi media.

Anbalagan berkata dengan tertubuhnya satu persatuan sebegini, ia akan melindungi wartawan portal dan akan dapat menjaga kebajikan pemberita serta menjadi pusat latihan kepada wartawan baru.

“Ini adalah antara peranan yang dapat dimainkan oleh wartawan portal. Dengan adanya persatuan itu akan dapat melatih wartawan agar lebih baik dalam laporan mereka serta menjaga kebajikan ahlinya. Bolehkah anda bayangkan tanpa portal berita, apa yang akan terjadi kepada kita?

"Mereka yang giat melaporkan keganasan terhadap wartawan semasa himpunan Bersih pada tahun lalu. Begitu juga dengan kenyataan media yang dihantar, media paling banyak menyiarkannya adalah dari akhbar Cina dan portal berita,” katanya.

Sementara itu, Vinod yang juga panelis di forum tersebut mempersoalkan keengganan wakil daripada NUJ menyertai forum itu sebagai tanda sokongan terhadap bantahan kepada KDN menggantung pengedaran The Heat.

“Saya gembira ramai yang menghadiri majlis malam ini tetapi di manakah NUJ? Saya tak layak berucap di sini sebaliknya NUJ. Ini berkaitan media yang sedang dibuli. Di manakah mereka?” katanya yang turut menyebut kesatuan di kalangan pengamal media dapat menghapuskan cengkaman KDN terhadap organisasi berita.

Hata memberikan beberapa pandangan yang agak radikal.Hata memberikan beberapa pandangan yang agak radikal.Hatta pula yang merupakan bekas wartawan akhbar milik Umno Utusan Malaysia, nyata marah dengan tindakan KDN terhadap The Heat dengan menyuarakan beberapa pandangan radikal.

Katanya, setelah negara mengecapi 56 tahun kemerdekaan, media masih ditindas dan tiada kebebasan untuk menulis serta menerbitkan majalah mahupun akhbar.

“Apabila bercakap tentang etika kewartawanan, adakah kerajaan menghormatinya? Adakah media perdana mengikut etika kewartawanan?

“Jika mereka tidak mahu mengikut etika, mengapa tidak kita? Berapa lama media arus perdana telah ‘memandulkan’ etika kewartawanan? Adakah mereka memberi hak kepada pihak yang dituduh mempertahankan diri?” katanya yang turut mencadangkan hadirin melonggokkan akhbar The Heat di KDN sebagai tanda bantahan.

Hatta berkata portal berita terlalu memberi ruang kepada pihak kerajaan untuk membela diri sedangkan mereka mempunyai kuasa yang besar untuk menyampaikan maklumat.

“Jika dilihat, portal terlalu memberi peluang kepada kerajaan untuk membela diri. Portal media kini mempunyai kuasa menyampaikan maklumat. Mengapa tidak gunakan kuasa yang kita ada untuk menghentam kerajaan? Kenapa kita perlu memberi hak kepada mereka untuk membela diri?” katanya.

Masjaliza berpendapat etika kewartawanan harus dipertahankan walau dalam apa jua keadaan.  Masjaliza berpendapat etika kewartawanan harus dipertahankan walau dalam apa jua keadaan. Masjaliza pula berpendapat pengamal media seharusnya perlu sentiasa mengamalkan etika kewartawanan biarpun berdepan dengan tekanan kerajaan.
Katanya, media perlu memberi peluang kepada pihak yang dituduh untuk membela diri kerana peluang yang diberikan itu mampu memberi pencerahan kepada rakyat.

“Jika kerajaan tidak menghormati media, media yang bertanggungjawab mesti mengamalkan etika kerana asas moral dan profesional akan hilang jika gagal mengamalkan etika. Sama ada suka atau tidak, menjadi prinsip kepada media, memberi peluang kepada seseorang untuk membela diri.

“Kita diberi peluang untuk membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan artikel yang mencabar pandangan mereka. Sekiranya media mahu rakyat tidak diperbodohkan, mereka mesti memberi ruang yang lebih untuk memastikan bahawa pencerahan berlaku dan mereka diberikan lebih maklumat,” katanya.

Pegawai Eksekutif di Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) itu berkata, pindaan terhadap Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) adalah sekadar ‘kosmetik’ pihak kerajaan bagi membuktikan pembaharuan terhadap media dilakukan pihak kerajaan.
Katanya, penggantungan akhbar The Heat membuktikan bahawa pindaan PPPA tidak membawa kepada pembaharuan media dan politik negara tetapi sebaliknya jauh tersasar daripada janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kita tahu pindaan PPPA pada 2012 adalah ‘kosmetik’. Perdana Menteri berjanji akan ada pembaharuan besar-besaran, transformasi politik dan sosial serta menjadikan Malaysia negara demokrasi terbaik di dunia tetapi itu adalah kosmetik kerana setahun kemudian akta yang telah dipinda itu tidak menjadi lebih baik malah digunakan kepada The Heat.

“Penggantungan lesen penerbitan masih berada di tangan KDN dan kami menggesa agar ia dipinda. Buku kartunis Zunar telah diharamkan dan ia tertakluk di bawah PPPA. Akta itu tidak hanya tertakluk kepada media tetapi buku, data, poster dan kartun,” katanya yang menyebut sekarang adalah masa terbaik untuk meminda PPPA.

April tahun lalu, KDN membentangkan pindaan PPPA di Parlimen bagi menggugurkan "kuasa mutlak" menteri dalam meluluskan atau tidak meluluskan lesen mesin cetak beserta pindaan terhadap lima Subseksyen Akta 301.

Fasal 4 pindaan itu turut merangkumi pemansuhan tempoh sah lesen dan membenarkan lesen berkenaan kekal sah selagi ia tidak dibatalkan.

Manakala, Fasal 5 bertujuan memansuhkan larangan mendapatkan semakan kehakiman berhubung keputusan menteri dalam memberi, menolak, membatalkan atau menggantung lesen atau permit mengikut Akta 301.

Fasal 6 pula memberi peluang kepada seseorang untuk didengari sebelum sesuatu keputusan untuk membatalkan atau menggantung sesuatu lesen dibuat mengikut Subseksyen 3(3), 6(2), atau 13(1), sesuai dengan sesuatu kes itu.

Kartunis, Rona Sina yang juga merupakan panelis forum itu berpendapat sekatan KDN ke atas The Heat adalah bertujuan bagi menghalang rakyat daripada terus mengetahui tentang kebenaran dan meneruskan proses pembodohan terhadap rakyat.

“KDN boleh gunakan apa sahaja alasan seperti mana alasan yang digunakan kepada majalah Wasilah dahulu,” katanya.

Tiada ulasan: