KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR - Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mempersoalkan apakah mencetak t-shirt boleh mengancam keselamatan negara hingga perlu disiasat menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
“Aktivis yang diburu polis ini menjalankan perniagaan secara terbuka dan hanya menerima tempahan daripada orang ramai seperti peniaga lain.
“Sangat tidak logik sesorang yang menjalankan perniagaan secara terbuka merancang untuk menggugat demokrasi berparlimen,” kata penyelaras Suaram, Syukri Razab.
Katanya, aktivis berkenaan yang dikenali di laman sosial facebook dengan nama Eddy Gordo turut mempamerkan nombor akaun dan alamat rumahnya secara terbuka.
“Maka, tidak ada sebab untuk polis menggunakan akta seperti Sosma ke atas beliau,” kata Syukri.
Kira-kira jam 1 pagi tadi, beberapa anggota polis dari IPD Serdang mencari aktivis tersebut di rumah sewanya di Seri Kembangan, Selangor.
Polis turut menggeledah rumah sewa berkenaan, merampas t-shirt jualan dan difahamkan kes tersebut akan diserahkan kepada pihak Bukit Aman.
“Tindakan polis dilihat seperti cuba mengalihkan isu sebenar yang ingin diutarakan rakyat iaitu tuntutan agar lerajaan segera menangani kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat,” kenyataan Suaram dipetik.
Justeru, Suaram mendesak polis menghentikan intimidasi terhadap aktivis berkenaan yang dijamin perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948.
“Mansuhkan undang-undang yang mencabuli hak asasi manusia termasuk Sosma, POCA 2013 dan DDA 1985,” kata Syukri.
1 ulasan:
Punyalah takut hinggakan setiap bayang disangkanya hantu. Kesian!
Catat Ulasan