Pusat sudah melaksanakan rasionalisasi ekonominya menerusi pendekatan menaikkan harga barangan dan caj tenaga serta yang terbaru cadangan menaikkan bayaran tol pengguna lebuh raya.
Ia adalah lanjutan daripada siri-siri kenaikan harga barangan asas selepas pilihan raya umum yang ketika kempen pihak BN menjanjikan untuk mengurang kos sara hidup rakyat.
Namun apa yang berlaku ialah kos sara hidup itu cuba dikurangkan dengan menaikkan harga petrol, diesel dan gas. Seperti mana pada 3 September lalu harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan kepada 20 sen menyambung daripada siri-siri kenaikan harga sebelum ini.
Kerajaan BN Pusat cuba memujuk rakyat dengan mengadakan beberapa pendekatan antaranya membuka rangkaian Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malik semasa perasmian KR1M di Tawau, Sabah pada 15 September lalu berkata, langkah kerajaan membuka KR1M dan bersedia menjual sebanyak 397 jenis barangan pengguna pada harga berpatutan membuktikan kerajaan menepati janji. Kenyataan ini adalah permainan wayang yang cuba mempersendakan rakyat.
Ia ditambah buruk lagi dengan sikap pemimpin BN yang menghiburkan rakyat dengan segala pemberian termasuk BR1M, insuran satu Malaysia dan pelbagai skim kredit atas jenama 1Malaysia.
KR1M bukan penyelesaian
Persoalannya, apakah KR1M ini menjual barangan lapuk dan tidak terikat dengan kenaikan kos-kos berkaitan dalam produksi barang. Jawapnya, mustahil KR1M menjual barangan yang bebas daripada segala kenaikan kos-kos berkait.
Maksudnya, roti atau biskut yang dijual adalah barangan dari kilang yantg dijanakan oleh tenaga elektrik atau minyak dan gas (telah dinaikkan caj), dan ini sudah tentu memberi kesan kenaikan kos pengeluaran.
Justeru KR1M terpaksa juga menjual pada harga yang untung demi survival. Maka harga barangan keperluan asas di KR1M tidak boleh dielak, kenalah menjual pada harga yang untung (selepas mengambil kira kenaikan kos).
Misalnya harga gula (berat sekilogram) bertapis kasar ialah RM2.84 dan bertapis halus RM2.94.
Logiknya harga gula dijual pada harga RM3.00 sekilo. Mungkin kebaikan di KR1M hanya dari segi pilihan antara mahu membeli barangan import yang mahal atau barangan tempatan yang murah.
Natijahnya barangan tempatan lebih murah kerana tiada cukai import. Apa yang pasti harga jualannya tetap pada harga yang untung setelah mengambil kira kos pengeluaran yang bertambah kesan kanaikan kos-kos pengeluaran.
Bahan asas pengeluaran satu-satu barangan (produk) ialah mengambil kira harga bahan tenaga yang menjana mesin dan pengangkutan kilang serta bahan mentah. Maka kesannya kenaikan minyak dan gas memungkinkan caj (bil elektrik dan gas) sumber asas bahan tenaga dinaikan.
Kesannya yang sama berlaku ke atas kos pengangkutan bahan mentah (contohnya tepung gandum) yang terpaksa juga dinaikkan. Justeru logiklah produk kilang (misalnya roti dan biskut) itu dinaikkan.
Kalau sebelum ini satu pek roti saiz jumbo berharga RM2.80, tetapi kini terpaksa dijual dengan harga untung pada saiz sama ialah RM3.20. Secara langsung kos makanan untuk roti sudah meningkat 40 sen bagi satu hari atau sebanyak RM12.00 sebulan. Sudah tentu unjuran kenaikan banyak lagi barangan pengguna yang lain akan melalui kadar kenaikan tertentu.
Jika purata satu barang asas (roti) mengalami kenaikan RM12 sebulan, bayangkan berapa kos yang meningkat terpaksa ditanggung pula jika setiap bulan kita terpaksa menggunakan 10 bahan keperluan asas (beras, minyak masak, gas, elektirik, bawang, lada, ikan, ayam, sabun dan air). Maka purata kenaikan kos keperluan bahan asas sudah melebihi RM100 sebulan.
Jika setiap keluarga atau individu menggunakan sekitar 100 jenis barangan asas setiap bulan maka, tidak dinafikan kenaikan kos bulanan sudah melebihi RM1,000 sebulan.
Atas rasional pengiraan mudah ini, pendekatan KR1M bukanlah satu penyelesaian. Maka amatlah tidak popular bagi sebuah kerajaan cuba mengimbangi kenaikan kos dan kesan himpitan ekonomi semasa dengan cara pendekatan rasionalisasi harga, iaitu menaikan harga dan cukai barangan pengguna.
Justeru pendekatan PAS dan Pakatan Rakyat membina kesedaran bersama-sama NGO untuk mendesak Kerajaan BN agar menurunkan harga bahan asas seperti caj elektrik, minyak dan gas serta cukai perkhidmatan (baca: GST akan kenakan) dan sebagainya adalah sesuatu yang harus disokong.
Meneteri Besar sokong
Selari dengan hasrat dan kesedaran inilah, pihak Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob telah menyatakan sokongan penuh kepada usaha bagi mengadakan perhimpunan untuk membantah kenaikan harga dan turut bersetuju dengan pendirian NGO, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) menganjurkan Himpunan Amarah Rakyat di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember nanti.
Ia bukanlah himpunan mengguling kerajaan sebagaimana difitnahkan oleh media pro-BN. Ini kerana himpunan mengguling kerajaan sebenarnya berlaku di kota Bangkok. Himpunan amarah ini adalah himpunan membela rakyat.
Justeru pendirian Kerajaan Negeri Kelantan ini turut disokong oleh Pemuda PAS Kelantan menerusi kenyataan Ketua Pemuda, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang bersedia menghantar ahli pemudanya untuk hadir menyertai himpunan tersebut.
Ini adalah keprihatinan warga Kelantan atas komitmen bagi memperjuangkan kesejahteraan hidup rakyat berdepan dengan himpitan hidup angkara pentadbiran boros dan ketirisan BN. Ia juga adalah terjemahan secara langsung pendirian Kerajaan Negeri Kelantan sebagaimana terkandung dalam tawaran pilihan raya lalu.
Semoga kesedaran dan bangkitnya rakyat menyatakan bantahan (baca: amarah) akan membangkit tindakan balas Kerajaan Pusat agar bersedia melaksanakan pertimbangan sewajarnya untuk menyeimbangi himpitan ekonomi melampau hari ini.
Inilah prinsip perjuangan Pakatan Rakyat, sentiasa bersama rasa dan denyut nadi rakyat bagi kesejahteraan rakyat.
Wan Nik Wan Yussof ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan