APAKAH maksud memahami denyut nadi rakyat? Jawapan mudah adalah memahami segala permasalahan rakyat dan cuba mencari jalan terbaik untuk mengatasinya.
Jadi adakah kerajaan BN mengabaikan dan gagal menyelami ayat berkenaan yang sebelum ini, menjadi tutur kata pemimpin BN hingga ada mengabdikannya dalam manifesto masing-masing ketika PRU13 lalu.
Jika dilihat daripada aura atau angin melanda rakyat ketika ini, semuanya menuding kepada kerajaan BN kerana gagal mengotakan janji yang memahami denyut nadi rakyat.
Segala kekecewaan, kemarahan dan kekesalan disuarakan secara terbuka terutama sekali di media sosial atau media cetak yang bersikap neutral dan mengetengahkan kebimbangan rakyat.
Isu kenaikan harga bermula daripada tol, elektrik, kemungkinan besar tol pula selepas ini (belum ada pengumuman rasmi) jelas melihatkan kerajaan BN seakan tidak memahami denyut nadi rakyat.
Walaupun ada dalam kalangan menteri yang cuba bersikap objektif dengan merasionalkan kenaikan harga-harga berkenaan tetapi ada juga menteri terus menidakkan berlaku kenaikan harga barangan di peringkat pengguna akhir iaitu rakyat.
Lantaran itu, pelbagai persepsi dan imej negatif dilemparkan kepada kerajaan BN dilabel ‘syok sendiri’ dan tidak memahami denyut nadi rakyat walaupun mendapat mandat memerintah selepas PRU13.
Lebih parah, isu-isu ini, menjadi modal politik pembangkang dan lebih teruk lagi sehingga ada pihak cuba memperalatkannya dengan mengajak rakyat menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.
Adakah kerajaan BN menjadi buta tuli hingga tidak mampu lagi menyelami denyut nadi rakyat atau terus dilambung mimpi apabila memenangi PRU13 dengan segelintir pemimpin Umno mendabik dada bahawa parti ini, kembali mendapat sokongan rakyat apabila jumlah kerusi meningkat dalam pilihan raya umum kali ini, berbanding yang lalu.
Sebab itu, apabila saya mengeluarkan kenyataan di akhbar Sinar Harian baru-baru ini, bahawa BN akan kalah lebih teruk di kerusi bandar pada PRU14, saya bersikap objektif dalam soal ini, kerana senario berkenaan jelas terasa di kalangan pengundi di kawasan ini.
Ia disebabkan masyarakat bandar tidak mengira bangsa dan agama, yang jelas terasa dengan isu kenaikan harga barangan ini, dan mereka tidak akan sewenang-wenang meluahkan kekecewaan serta kemarahan jika perkara berkenaan adalah sesuatu yang tidak benar.
Saya bukan mahu bertindak mencari populariti murahan dengan membuat kenyataan sedemikian kerana sebagai Ahli Parlimen kawasan bandar, kerusi BN Parlimen Pulai terancam dengan isu-isu ini.
Memang mudah menyalahkan pembangkang seperti yang dilakukan sesetengah menteri, tetapi perlu diingatkan sudah tentu kerja pembangkang adalah mengkritik dan cuba memanipulasi isu demi ‘political mileage’ tetapi kerajaan BN perlu sedar sesuatu harus dilakukan segera bagi meredakan kemarahan rakyat ketika ini.
Walaupun, rakyat sedar bahawa iklim ekonomi dunia tidak menentu mengakibatkan kenaikan harga barangan yang tidak mampu dielakkan, namun mereka mahu tindakan proaktif diambil dengan segera.
Ketika ini, kerajaan BN dilihat amat lambat bertindak dalam menerangkan keadaan sebenar mengapa kenaikan harga barangan ini, sesuatu yang perlu dijangka rakyat.
Keberanian untuk menyatakan perkara sebenar berlaku dan tidak terus bermain dengan kenyataan yang bersifat retorik adalah apa yang dimahukan rakyat negara ini.
Dengan kadar penembusan internet di negara ini, yang melebihi 60 peratus dan dijangka meningkat, kerajaan BN terus ‘kalah’ dalam pertempuran media sosial dalam memberikan maklumat sebenar.
Kebergantungan terhadap media-media arus perdana yang saban hari peratusan rakyat membaca atau menontonnya terus jatuh, adalah satu strategi yang salah dalam memberikan penerangan kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menghimpunkan ‘penasihat-penasihat’ baharu beliau bagi memberikan idea baharu menangani krisis ini yang amat kritikal terhadap BN dan Umno.
Kepercayaan terhadap ‘penasihat-penasihat’ lama yang terbukti gagal memberikan keputusan lebih baik kepada BN dalam PRU13 lalu, selain melantik konsultan asing untuk memberikan imej positif kepada kerajaan perlu diketepikan sama sekali.
Kini, setiap kata-kata kerajaan BN menjadi satu bahan gurauan dan momokan rakyat sehingga dilihat sukar untuk kembali meraih semula sokongan daripada rakyat.
Rakyat sebenarnya, sedar pembangkang juga tidak sebaik BN tetapi mereka berada dalam keadaan marah sudah pasti mahu mencari mangsa untuk dihukum, dan sudah pasti saya tidak mahu kerajaan BN yang menjadi mangsa menerima hukuman daripada rakyat.
Sebab itu, usaha memberikan penerangan kepada rakyat ini, tidak boleh diletakkan di peringkat kerajaan semata-mata tetapi mesti merangkumi jentera parti BN kerana inilah tulang belakang kerajaan.
Kegagalan mengoptimumkan penggunaan jentera parti memberikan penerangan kepada rakyat akan memberikan padah besar kepada kerajaan BN kerana jentera parti melihat mereka terus dipinggirkan pemimpin yang lebih taksub mendengar nasihat ‘orang luar’ daripada mereka sendiri.
Jika dicampurkan keseluruhan jumlah ahli BN yang mempunyai 13 parti komponen, jumlahnya sudah pasti mencecah hampir lima juta dan inilah jentera sebenar yang perlu digembleng dalam memberikan penerangan serta menyalurkan maklumat sebenar kepada rakyat.
Jika ahli-ahli akar umbi BN terkejut dengan tindakan oleh pemimpin dan mula menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan berkenaan, keadaan itu sebenarnya cukup berbahaya kepada parti.
Sebagai pemimpin, kita mesti mempunyai kebijaksanaan serta kebolehan untuk berani berdepan dengan masalah dan cuba menyelesaikannya. Seorang pemimpin tidak boleh hanyut dengan pujian melangit daripada ‘penasihat-penasihatnya’ kerana ia penyumbang kepada kejatuhannya.
Sudah pasti Najib sedar perkara ini, apabila pada Pilihan Raya Umum 1999 yang menyaksikan beliau menang tipis di Parlimen Pekan dengan majoriti 241 undi.
Masa belum terlambat untuk kerajaan BN berbuat sesuatu bagi mengembalikan sokongan rakyat, tetapi ia bergantung kepada kebolehan pucuk pimpinan membuat keputusan yang bijak.
Apa yang Najib dan barisan Kabinetnya perlu lakukan adalah berterus terang kepada rakyat dan menghentikan kejutan realiti sebenar ekonomi negara serta dunia.
Bukan menjadi satu rahsia lagi apabila kerajaan dilihat menggunakan konsultan asing dan penasihat-penasihatnya yang dibayar gaji lumayan untuk ‘spin’ keadaan ekonomi negara bagi memastikan rakyat tidak ketakutan dengan realiti, walaupun pada suatu masa strategi itu berkesan tetapi kini sudah masanya berterus terang.
Najib tidak perlu bimbang dengan keputusan PRU14 kerana rakyat sudah pasti mahu kerajaan yang berterus terang dengan memberikan jangkaan realiti yang akan mereka hadapi dalam iklim ekonomi dunia yang begitu mencabar.
Mungkin semangat mendiang Nelson Mandela yang sanggup menerima kemarahan penyokongnya semata-mata menyatupadukan rakyat Afrika Selatan berbeza warna kulit perlu dijadikan panduan.
Bagi mendiang bekas Presiden Afrika Selatan itu, perkara berkenaan perlu demi kepentingan negara itu pada masa depan.
Dengan keputusan berkenaan, jelas membawa Afrika Selatan yang sebelum ini, terbelenggu dengan dasar aparteid menjadi sebuah negara berasaskan satu bangsa.
Pemimpin BN perlu sedar bahawa zaman kerajaan BN dapat menyelesaikan segala masalah untuk rakyat sudah berakhir.
Rakyat perlu mengetahui hakikat realiti sebenar ekonomi negara pada masa akan datang dalam keadaan globalisasi dunia.
Segala tumpuan kini terarah kepada Najib sebagai nakhoda negara untuk membuat keputusan berani bagi meredakan kemarahan rakyat jika tidak, BN pasti akan dihukum dalam PRU14 nanti.
*Penulis adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Umno Bahagian Pulai dan ahli Parlimen Pulai selama tiga penggal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan