HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Disember 2013

Selangor bakal tubuh akademi badminton cungkil bakat baru

Oleh : Afeeqa Afeera


SHAH ALAM : Kerajaan negeri berhasrat menubuhkan akademi badminton Selangor bagi mencungkil bakat baru seterusnya melahirkan bintang ke peringkat antarabangsa dalam sukan itu.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata peserta yang menyertai akademi itu akan diberi bimbingan jurulatih profesional dan dinilai secara merit.

Katanya, ia sebagai usaha mengembalikan semula kegemilangan Selangor dengan melahirkan jaguh badminton setaraf anak Datuk Sidek Abdullah Kamar.

Yunus-Hairi

“Kemungkinan di peringkat negeri kita akan adakan satu pasukan untuk dibimbing (small academy) jurulatih profesional kerana mahu jaguh seperti anak Sidek ini kembali.

“Kerajaan negeri mahu melahirkan bintang yang akan dipilih secara merit bagi mengikuti latihan kerana saya fikir sudah tiba masanya untuk kita bangunkan industri sukan ini di Selangor,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Badminton bawah 16, 14 dan 12 tahun di Kompleks Belia, di sini, hari ini.

Ahmad Yunus berkata, program julung kali yang dianjurkan kerajaan negeri bersama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) itu disifatkan sebagai satu ransangan kepada golongan belia untuk aktif bersukan.

Katanya, penyertaan daripada kira-kira 300 peserta seluruh negeri itu menyaksikan dua kategori dipertandingkan iaitu beregu dan perseorangan.

Beliau berkata, kejohanan itu juga adalah satu persediaan bagi kerajaan negeri untuk menempatkan atlet dan bakat baru dalam Sukan Malaysia (SUKMA), mulai tahun depan.

“Kita cuba jadikan ia sebagai program tahunan dengan harapan mereka yang menyertainya berjaya mencapai kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa. Setakat ini kita fokus kepada sukan badminton dan bola sepak dulu, kemudian kita akan teruskan dengan sukan lain,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: