HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Disember 2013

DAP sifatkan projek insinerator sia-sia, Kementerian akui teknologi gagal

dr.ong kian ming-IMG_8843 (1)



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming hari ini menegaskan pemberian 4 kontrak insinerator kepada XCN Technology Sdn Bhd (XCNT) tidak akan ke mana berikutan penggunaan teknologi tidak terbukti yang digunakan.

Beliau berkata, walaupun menyambut baik respon pantas kerajaan, namun ia masih belum menjawab persoalan mengapa teknologi itu digunakan walhal Kementerian sendiri telah mengakui kelemahannya.

“Dalam Laporan Audit Negara 2012, Siri 2, muka surat 344, Kementerian sendiri mengakui bahawa ia adalah teknologi yang masih belum terbukti dengan menyatakan ‘Insinerator rotary kiln rekaan XCNT merupakan teknologi tempatan yang secara teorinya mampu untuk melupuskan sisa pepejal tetapi masih belum terbukti secara fizikal’.

“Salah satu kelemahan yang dikenal pasti Laporan Audit Negara adalah setiap satu daripada insinerator XCNT memerlukan dua garis operasi kerana kemungkinan kegagalan satu darinya.

“Sebagai perbandingan, insinerator yang digunakan di Singapura dapat menjalankan 6 garis operasi serentak dan setiap garis operasi akan berhenti operasi hanya sekali setahun bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoal apakah teknologi yang digunakan XCNT itu boleh mengurangkan ‘output’ akhir kepada 6 peratus daripada jumlah isipadu awal.

Menurutnya, Laporan Audit Negara mendapati ‘output’ akhir pada hakikatnya adalah 19 peratus kepada 33 peratus daripada jumlah keseluruhan dan ia jauh dari 6 peratus yang dijanjikan XCNT.

Tegasnya lagi, angka-angka kos penyelenggaraan yang diberikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan juga menimbulkan kemungkinan bahawa kos yang tinggi adalah berpunca dari teknologi tidak terbukti terbabit.

“Kos operasi untuk satu tan insinerator di Langkawi dan Pangkor bermula dari serendah RM207 kepada RM363 satu tan di Cameron Highlands.Walaupun menteri menjelaskannya dengan merujuk kepada kekurangan skala ekonomi untuk insinerator kecil, kos per tan adalah lebih 200 peratus dari dibelanjakan DBKL iaitu kira-kira RM84 setiap tan.

“Jadi, ia boleh disimpulkan bahawa kos operasi tinggi untuk setiap tan insinerator ini bukan sahaja kerana kekurangan skala ekonomi tetapi teknologi yang digunakan adalah tidak sesuai.

“Jika teknologi insinerator yang digunakan XCNT berfungsi dengan baik, mengapa kontrak XCNT di Labuan telah dibatalkan pada 2013,” soalnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: