HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Disember 2013

Tanah kubur cukup di Kuala Lumpur

 
Bagaimanapun, dalam tempoh 50 tahun lagi tanah kubur akan menjadi sempit ekoran kematian penduduk.

 

Bahagian 1


PETALING JAYA: Meskipun warga Kuala Lumpur bertambah dengan pesat setiap tahun, tanah kubur yang ada masih mencukupi hingga tahun 2061.

Bagaimanapun, dalam tempoh 50 tahun lagi tanah  kubur akan menjadi sempit ekoran kematian penduduk, kata bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali.

Barangkali ramai yang tidak mengetahui bahawa terdapat 46 tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan dengan 21 daripadanya terletak di Kuala Lumpur.

Jumlah keluasannya pula 74.23 hektar dan ditadbir oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Selain Kuala Lumpur, terdapat 18 tanah perkuburan dengan keluasan 42 hektar di Wilayah Persekutuan Labuan dan sebuah lagi di Putrajaya dengan keluasan 47 hektar yang ditadbir oleh Perbadanan Putrajaya.

Adakah keluasan 74.23 hektar tanah perkuburan dalam Kuala Lumpur mampu untuk menempatkan jenazah pada masa akan datang?

Adakah faktor kemajuan boleh memberi kesan kepada tanah perkuburan Islam?

Che Mat  menjelaskan, salah satu tanah perkuburan yang diselenggara oleh pihaknya iaitu Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak mampu menampung keperluan sehingga 2061.

Dua tanah perkuburan lain iaitu Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 1 yang berkeluasan 5.8 hektar boleh menampung sehingga 2035 manakala Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 2 pula seluas 2.1 hektar.

Model Raudhatul Sakinah

Selain itu, enam tanah perkuburan lain berkeluasan 22 hektar sedang dinaik taraf oleh Jawi. Antaranya yang terletak di Bukit Jalil, Cheras, Titiwangsa dan sebagainya.

Model Raudhatul Sakinah boleh mengurangkan pengunaan tanah perkuburan dengan spesifikasi kubur yang telah ditetapkan Jawi. Ahli keluarga si mati tidak boleh sewenang-wenang menambah apa-apa binaan kecuali yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu majlis fatwa kebangsaan memutuskan bahawa pembinaan tanah kubur berperingkat tidak bertentangan dengan syarak.

“Muzakarah berpandangan bahawa dalam keadaan dharurat di mana berlakunya kepadatan penduduk dan lokasi tanah perkuburan yang terhad, pembinaan kubur secara bertingkat merupakan konsep dan kaedah yang tidak bertentangan dengan syarak.

“Sehubungan itu, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa berdasarkan prinsip hukum Islam, pembinaan kubur secara bertingkat adalah harus dilaksanakan sekiranya keperluan amat mendesak bagi mengatasi kekurangan tanah perkuburan orang Islam pada hari ini.

“Bagaimanapun, kajian terhadap modul-modul pelaksanaannya perlu diteliti dengan lebih menyeluruh dengan mengambil contoh di beberapa buah negara luar yang telah melaksanakannya serta mengambilkira penjimatan kos,” kata kenyataan majlis fatwa..

Majlis itu juga memutuskan, penggunaan semua tanah kubur adalah hukumnya harus menggali semula tanah perkuburan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak atau dharurat dengan sebab-sebab tertentu yang diharuskan oleh syarak.

Katanya, adalah harus menggali semula tanah perkuburan setelah dikenalpasti mayat itu telah reput oleh pihak berkuasa untuk digunakan bagi mengebumikan mayat yang baru.

Tiada ulasan: