HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Disember 2013

Tulislah, demi kemanusiaan!

Muhammad Nazreen

typewriter


TIADA juara dalam dunia penulisan. Ramai beranggapan bahawa seorang penulis itu ketika mana mereka menulis, hanya untuk menjadikan mereka sudah cukup hebat berbanding orang lain.

Maka, ia semacam suatu persaingan untuk menentukan kalah-menang si tukang tulis. Pandangan ini ternyata meleset, jauh sekali daripada kebenaran.

Perseteruan di dalam dunia penulisan – daripada latarnya, kelompoknya dan persekitarannya yang berbeza hanyalah imaginasi sang penulis yang mencuba bermain dengan kata-kata, merangkumi persoalan kecil mengenai kehidupan sehari-hari seorang manusia sehingga menyentuh perbahasan besar lewat idea dan intelektual.

Penulisan itu manifestasi di sebalik kegusaran manusia mencari sesuatu yang ‘hilang’ – dalam kata lain, mencari sebuah ‘kerinduan’.

Yang nyata hilang adalah nilai kemanusiaan. Kita semakin lama terperangkap dengan tuntutan dunia yang asyik mengejar kebendaan mengatasi keperluan ruhani.

Barangkali, persoalan begini tidak akan terjawab hanya dengan membibitkan rasa resah di dalam diri. Ia hanya sekadar ruang buat manusia untuk menggali semula identiti dan kebenaran sebagai seorang manusia, seperti kata sarjana besar kesusasteraan Indonesia, Dr Abdul Hadi WM sebagai ‘kembali ke akar, kembali ke sumber.’

Menulis memberi peluang untuk si penulis melepaskan keinginan sebagai seorang manusia yang gagal diterjemahkan ke dalam realiti kehidupan. Jadi – di hujung mata penalah, mereka ketawa dan menangis.

Menulis sebenarnya adalah luahan perasaan yang tidak dapat disampaikan secara terus. Maka, ia memerlukan medium untuk dipanjangkan. Jalan penulisan merupakan jalan terbaik.

Kegagalan dalam hidup menjadikan seorang penulis itu agung di mata pembaca-nya. Dengan menulis, orang yang gagal boleh jadi berjaya. Tetapi, orang yang berjaya belum tentu akan gagal selama mereka tidak menulis!

Bukan semua mampu menulis dengan baik, apatah lagi untuk menyebarkan keinginan di dalam masyarakat yang sering berhujah dengan hukum dan bukan dengan kebenaran. Tidak kurang pula bagi mereka yang menulis – merasakan bahawa sekurang-kurangnya tulisan merupakan ‘eskapisme segera’ untuk menakluk dunia.

Kita harus akui hidup ini penuh dengan hipokrasi dan penipuan. Tetapi, mencipta suatu keinginan pula bukanlah dosa yang besar. Menulis adalah peluang untuk mengejar kemahuan yang tidak dapat dicapai di sepanjang hayat ini.

Menulis mencipta imaginasi. Dan, mencipta imaginasi pula bukan tugas yang mudah. Daya ingatan manusia sangat terhad. Kita akan lupa tentang apa yang dibicarakan sepanjang hari. Maka, menulis itu adalah ingatan bukan sahaja untuk mereka yang bergelar penulis, tetapi juga peringatan khusus buat pembaca.

Jadi di sini – saya merasakan bahawa tujuan menulis tidaklah lebih agung daripada menulis untuk kemanusiaan. Ingatan ini pernah sampai ketika pertama kali saya menelaah novel karangan Pramoedya Ananta Toer atau lebih mesra sebagai Bung Pram, dan di dalam ingatan itu – seakan terngiang-ngiang pesan Bung Pram yang menuntut setiap penulis untuk menyebarkan kesedaran terhadap kemanusiaan melalui tulisan.

Pengukuhan unsur kemanusiaan di dalam penulisan telah disentuh dengan cermat oleh intelektual terkemuka, Professor Syed Husin Alatas. Di dalam syarahan perdana, ‘Islam dan Sastera ’ yang diuraikan beliau pada 25 Disember 1978 pada Seminar Kebudayaan Melayu di Singapura, beliau menekankan sastera sebagai alat untuk menghubungkan kemanusiaan. Beliau berhujah bahawa Islam adalah agama yang menyemai nilai asas kemanusiaan seperti kebebasan dan keadilan. Maka, sastera adalah jalan terbaik untuk membina kesedaran.

Seperti kata sasterawan ulung daripada Rusia, Leo Tolstoy menerusi esei ringkas ‘What is Art?’ (1950):

Dalam tiap-tiap zaman dan masyarakat manusia, terdapat suatu kesedaran agama mengenai apa yang baik dan apa yang buruk di kalangan keseluruhan masyarakat itu, dan pandangan agama inilah yang menentukan nilai perasaan yang disalurkan melalui seni

Menerusi pandangan ini – saya dapat merakam pandangan Syed Husin Alatas yang amat mementingkan nilai kemanusiaan (tanpa mengira agama) di dalam penulisan sesuatu karya itu.

Ia seakan-akan sarat dipengaruhi pandangan Leo Tolstoy. Petikan daripada teks tersebut berbunyi:

Sebaliknya juga jika ada sesuatu karya yang dikarang oleh seorang yang bukan Islam, tetapi dalamnya terdapat dibesarkannya dengan nilai-nilai Islam, maka karya ini dapat kita anggap sebagai karya Islam dalam erti karya yang berdasarkan atas nilai-nilai Islam yang meliputi seluruh nilai kemanusiaan dan kejadian alam serta makhluk-makhluk di dalamnya

Pernyataan ini mengingatkan saya akan polemik dua penulis gergasi sekitar 80an – di antara Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad berkenaan konsep dan gagasan sastera Islam. Debat ini membincangkan bagaimana sesuatu karya itu dapat menyebarkan sastera yang bercirikan Islam. Kassim Ahmad melihat bahawa sebarang unsur kemanusiaan yang sejagat itu tentulah sastera yang membawa ajaran Islam. Namun, pandangan ini disanggah keras Shahnon Ahmad yang menawarkan ‘template’ dunia penulisan harus kukuh dengan unsur didaktik yang sesuai dengan ajaran Islam seperti kalimah syahadah, solat dan puasa.

Polemik ini mengupas kedudukan novel Salina, karya A Samad Said yang ketika itu sarat dengan kontroversi mengenai bagaimana seorang pelacur yang dianggap sebagai kasta sosial terendah di dalam masyarakat dapat diangkat watak protagonis sedangkan tugas melacur sama sekali ditegah oleh agama. Jadi apakah seorang pelacur itu tidak dapat mengajar kita erti kemanusiaan?

Ini mengingatkan saya dengan pesanan Terry Eagleton di dalam buku ‘Marxism and Literary Criticism’ (1976) bahawa kita harus membezakan seni sebagai bentuk (form) dan isi (content).
Sastera sebagai bentuk ‘form’ hanya membincangkan aspek teknikal di dalam kritik sastera. Manakala, sastera sebagai isi ‘content’ pula membincangkan nilai tersirat yang dibincangkan di dalam sesuatu karya sastera.

Secara lumrahnya, penulisan adalah gelanggang di mana seorang penulis sedang berinteraksi secara eksplisit dan implisit dengan pembaca. Jadi, sesuatu pentafsiran terhadap karya penulisan itu adalah proses pemindahan makna daripada penulis kepada pembaca.

Daripada situlah, idea yang dilontarkan penulis disambut oleh pembaca sekaligus memberikan pemaknaan yang berbeza daripada garapan penulis. Proses menyebarkan kesedaran terhadap unsur kemanusiaan itu berlaku apabila pemindahan maklumat itu terjadi.

Kesedaran bermula daripada saat kita meyakini bahawa penulisan boleh mengubah dunia. Kenyataan ini mungkin terlalu naif, tetapi dengan naifnya mendorong untuk kita kekal menulis dan percaya bahawa suatu hari nanti, biar sejarah sendiri yang mengadili nasib mereka yang menulis.

Saya meminjamkan bait-bait lirik daripada lagu ‘Bukan kerana nama’ nyanyian Ramli Sarip:

“Aku Menulis Bukan Kerna Nama,
Kerna Sifat Kasih – Pada sesama insan
Yang menyatakan kasih-sayangku.”
Jadi, Bacalah. Atas nama TuhanMu. Dan, tulislah – demi kemanusiaan!
Buat ZM, sumber inspirasi untuk kekal menulis.-Roketkini.com

Tiada ulasan: