ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM: Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini, menyarankan agar menteri berfikir secara rasional serta kritis tatkala membuat cadangan mahupun ketika memberi pendapat.
Jelas Asri, perkara itu perlu dilakukan agar tidak wujud persepsi bahawa negara sedang dipimpin oleh mereka yang tidak berkelayakan.
"Satu perkara yang perlu disedari oleh mereka yang menjawat jawatan menteri atau apa-apa jawatan tinggi dalam negara ini ialah rakyat negara ini sudah jauh lebih berpengetahuan dan bijak menilai dibandingkan dahulu.
"...ini disebabkan banyak faktor termasuk perkembangan teknologi maklumat terutama media sosial, latar pendidikan dan lain-lain.
"... namun hari ini kenyataan 'tidak cerdik' yang selalu dikeluarkan oleh kebanyakan menteri hanya akan menjatuhkan nilai menteri yang terbabit dan memperlihatkan kerajaan tidak berkualiti kerana memilih mereka tidak ada kualiti untuk memimpin negara terutama di era ini.
Sekaligus wujud persepsi bahawa negara sedang dipimpin oleh mereka yang tidak berkelayakan," katanya dalam entri Facebooknya yang terbaru.
Terdahulu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Malaysia menyokong kenaikan harga berikutan kurangnya aduan yang dibuat kepada kementeriannya.
Kenyataan tersebut mengundang reaksi negatif daripada rakyat yang terbeban dengan pelbagai kenaikan yang diumumkan kerajaan.
Tinjauan Antarapos minggu lalu mendapati rata-rata rakyat mengeluh dengan kenaikan harga petrol RON 95 sebanyak 20 sen September lalu, harga barangan asas perlahan-lahan mengalami peningkatan.
Bagi Siti Syakila Othman, 28, yang baru enam bulan mendirikan rumah tangga berkata beliau terpaksa bekerja untuk membantu suami menanggung kos sara hidup yang disifatkannya semakin menjerut leher rakyat.
Beliau yang bakal bergelar ibu tiga bulan lagi berkata terpaksa meminimumkan perbelanjaan lantaran terikat dengan pinjaman sewa beli kereta dan rumah.
Justeru kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang diumumkan baru-baru ini benar-benar membebankannya.
"Marahlah jugak tidak puas hati sebab semua harga barang mula naik, kita pun bukan berpendapatan tinggi nak kena tanggung itu dan ini.
"Terbeban, semua kena berjimat untuk berbelanja sebab kenaikan harga, macam saya kena bayar kereta lagi, rumah lagi, kat situ sahaja semua dah habis nak berbelanja lagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan