NGO mesra Pakatan Rakyat digambarkan mahu menggulingkan Kerajaan Umno Barisan Nasional Pusat pada 31 Disember ini di Kuala Lumpur melalui gabungan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun).
Ada satu perkara tidak disebut di sini, iaitu Najib Razak tahu bahawa pasukan Tun Dr Mahathir Mohammad dalam Umno akan menggulingkannya sebagai perdana menteri jika isu kenaikan kos sara hidup rakyat sekarang tidak ditangani segera.
Krisis seperti sekarang tidak jauh berbeza dengan krisis pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri, tahun 1997 dahulu.
Mahathir bijak kerana cepat memberi laluan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi penggantinya, sebagai perdana menteri tidak lama selepas itu.
Mahathir sedar krisis perlu diurus dan salah satu kaedah yang wajar adalah melakukan transisi kepemimpinan negara.
Kalau tidak buat begitu, lambat laung transisi kepemimpinan yang tidak diurus akan pergi kepada oposisi jua.
Apa yang mungkin bersarang dalam kepala otak Mahathir semasa melantik Abdullah sebagai perdana menteri tidak lain tidak bukan adalah untuk menghalang pengaruh Anwar Ibrahim daripada gigi kekuasaan.
Ada kenalan kata, pendapat ini silap dan jauh tersasar daripada maksud percaturan Mahathir.
Katanya begini. Elok menaikkan seorang yang lemah supaya mudah menaikkan seseorang yang kuat nanti.
Memang ya, tentera siber Mahathir berjaya menggambarkan Abdullah itu kaki tidur, 'Kerajaan Tiga Beranak' dan sebagainya sehinggakan rakyat Malaysia tidak dapat melihat langkah demokratik yang telahpun dilakukan oleh Abdullah, antaranya penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ternyata kerja buat tentera siber Mahathir berjaya menggoncang landskap politik negara hatta tiang seri Umno sendiri, sehinggakan menuntut transisi kepemimpinan dilakukan sekali lagi oleh Abdullah pula.
Abdullah yang digambarkan lemah serta kaki tidur itu akhirnya mengetuk laluan politik kepada Najib Razak sebagai perdana menteri.
Persoalannya, adakah kepemimpinan kuat yang dimaksudkan oleh Mahathir itu adalah Najib Razak?
Kalau itu maksud Mahathir, tentu suka pasukan Anwar Ibrahim.
Kalau itu maksud Mahathir, padanlah Pakatan Rakyat mendapat hampir 52% undi majoriti rakyat Malaysia pada PRU13, 5 Mei lepas.
Salah atau betul ijtihad Mahathir tersebut, negarawan itu telah mengajar kita peri penting untuk menguruskan krisis.
Salah atau betul ijtihad Mahathir tersebut, negarawan itu telah mengajar kita bahawa transisi kepemimpinan paling sesuai dilakukan semasa krisis sedang menggoncang amarah rakyat seperti sekarang.
Kalau saya jadi Mahathir, saya pun tidak dapat terima kelaku Rosmah Mansor yang dilihat lebih berpengaruh daripada menteri dan Umno sendiri.
Kalau saya jadi Mahathir, saya pun lagi tidak dapat menerima Najib memuji kelaku Rosmah yang luar biasa itu dalam Pemilihan Agung Umno (PAU) lalu.
Padanlah pro Mahathir marah. Kalau saya pro Mahathir pun, saya akan marah.
Kalau rakyat Malaysia seluruhnya pro Mahathir pun, tentu mereka akan marah.
Najib sedar akan amarah Mahathir ini.
Mungkin sebab itu, perdana menteri yang bersama Najib Razak berkata NGO dan Pakatan Rakyat mahu menggulingkan pentadbirannya pada 31 Disember ini.
Najib seperti Mahathir, sama-sama tahu bahawa pembangkang tidak mampu menggulingkan sebuah kerajaan pusat di negara ini.
Tetapi, krisis dalam Umno dan dalam negara seperti sekarang boleh menggulingkan Najib sebagai perdana menteri sebagaimana yang dilakukan ke atas Abdullah sebelum ini.
Siapa akan gulingkan PM 31 Disember, Najib?
* Penulis adalah fotojurnalis kelahiran Pulau Pinang dan Ahli Seumur Hidup PAS Kawasan Batu Kawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan