Tiga pegawai kastam didakwa  
Penahahan tertuduh disyaki ada kaitan dengan dua sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.


SEREMBAN – Tiga Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengedar dadah anggaran berat 1,540 gram pada 15 Disember lalu.

Kesemua tertuduh, Wee Sew Him, 58,  bertugas sebagai Penolong Kanan Pengarah, manakala Bahara Mansor, 58, dan Syafizal Mahmud, 36, sebagai Pegawai Kanan bertugas di cawangan narkotik Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Kampung Jijan Tengah, Nilai.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh di hadapan Majistret Siti Khairiah  Abdul Razak.

Mengikut kertas pertuduhan, kira-kira 12.30 malam pada 15 Disember lalu di cawangan narkotik Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Jalan Ciku, Kampung Jijan Tengah, Nilai dengan niat bersama-sama telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis heroin anggaran berat 1,540 gram.

Berikutan itu mereka didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39 B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 (234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (2) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli, manakala tertuduh Bahara dan Syafizal diwakili peguam, Rosal Azimin Ahmad dan Siew Him tidak diwakili peguam.

Siti Khairiah kemudiannya menetapkan 3 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes untuk memperolehi laporan kimia.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin mengumumkan penahanan 11 individu termasuk tiga pegawai penguatkuasa dipercayai KDRM kerana disyaki terlibat dalam dua sindiket penyeludupan dadah antarabangsa didalangi warga Nigeria dan India pada 17 Disember lalu.

Empat pegawai Kastam ditahan di kuaters kediaman mereka iaitu seorang di kuaters KDRM Kelana Jaya, manakala tiga lagi iaitu di pejabat KDRM Nilai serta kuaters KDRM Seremban.

Kesemua suspek ditahan dalam operasi khas pada 14 Disember hingga 16 Disember lalu.