HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Disember 2013

Air Di Sini Untuk Selamatkan Api Di Sana?




Oleh Lim Hong Siang

 
Maka sejarah pencabulan kebebasan media diimbas semula, dari penggantungan permit Watan, The Star dan Sin Chew Jit Poh ketika Operasi Lalang pada tahun 1987, hinggalah pengharaman Detik, Eksklusif dan Al-Wasilah ketika zaman Reformasi.  Namun cengkaman kebebasan bersuara tidak berhenti di situ, sungguhpun pendemokrasian terus mengorak langkah dari zaman ke zaman, dengan pembangkang yang semakin mantap, dan masyarakat sivil yang semakin kental.

Bukan sahaja cengkaman penguasa, genggaman pemodal melalui pemilikan juga ancaman terhadap kebebasan bersuara.  Perkembangan pasca zaman Reformasi menyaksikan pengambil-alihan Nanyang Holdings oleh MCA pada tahun 2001, yang akhirnya menjurus kepada monopoli oleh tycoon balak Tiong Hiew King, untuk memiliki empat akhbar Cina dalam pasaran, iaitu Sin Chew Daily, Guang Ming Daily, Nanyang Siang Pau dan China Press.
 
theheat

Namun monopoli pemodal tidak menyaksikan semak-imbang pasaran terhadap pemerintah sebagaimana yang dicadangkan dalam teori.  Maklumlah di Malaysia, penguasa dan pemodal berkomplot untuk kepentingan bersama.  Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan dengan mudah memasukkan tangannya ke dalam bilik editorial untuk menjentik editor sewenang-wenangnya, sebagai amaran kepada sesiapa yang cuba melewati garis merah.  Sudah tentu kita tidak lupa insiden pada tahun 2006, di mana Ketua Pengarang China Press terpaksa meletak jawatan lantaran kesilapan teknikal dalam laporan wartawannya tentang tahanan wanita diarah polis untuk melakukan ketuk ketampi berbogel dalam lokap.

Dengan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus menyerbu dan merampas majalah kartun yang dianggap “mengancam keselamatan awam”.  Kartunis politik terkenal, Zunar kini terpaksa memadamkan nama syarikat pencetak bukunya, lantaran pengalaman pegawai KDN menyerbu ke kilang pencetak.  Bukan sahaja pencetak, tetapi pengedar juga ditakut-takutkan.  Lidah rasmi PAS, Harakah menjadi mangsa apabila KDN mengenakan syarat agar ia dijual kepada ahli PAS sahaja, dan dijual di markas atau pejabat PAS sahaja.  Sudah tentu pengedar enggan mengambil risiko untuk disaman, semata-mata untuk keuntungan yang tidak seberapa.  Susulan daripada itu, jualan Harakah terjejas.

Selain permit, pemilikan dan campur tangan pemerintah ke dalam bilik editor, pengamal media juga berdepan dengan pelbagai gangguan dan risiko keselamatan ketika menjalankan tugas.  Wartawan dan jurugambar misalnya, dikasari polis ketika membuat liputan dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April 2012.  Meskipun anggota polis diheret ke mahkamah, tetapi akhirnya hakim memutuskan tertuduh tidak bersalah dan dibebaskan.

Penafian hak untuk membuat liputan juga antara halangan yang cuba dikenakan ke atas pengamal media, khususnya dari media internet.  Tidak kurang juga rungutan ketidakpuasan di mana wartawan menerima layanan yang buruk daripada politikus, tidak setimpal dengan peranannya sebagai “fourth estate” dalam negara.

Tekanan terhadap media berlaku sepanjang masa tetapi usaha untuk menentangnya kurang berhasil.  Petisyen dan memorandum diserahkan oleh pengamal media, laporan dan cadangan dibukukan oleh SUHAKAM, kritikan dilontarkan ahli akademik, tetapi ia seolah-olah gagal membawa perubahan drastik.  Kali ini akhbar mingguan The Heat menjadi mangsa, digantung permitnya dengan alasan yang kurang meyakinkan, untuk mereka yang masak dengan kerenah kerajaan Barisan Nasional.

Kehadiran kira-kira 200 orang yang memenuhi auditorium Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor pada malam 27 Disember 2013, amat memberangsangkan.  Apatah lagi ramai di kalangan mereka adalah anak muda.  Cuma, soalannya kekal, “Di manakah pengamal media cetak arus perdana, sedangkan merekalah mangsa secara langsung di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak?”  Jelas, ramai yang masih menaruh harapan terhadap Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) untuk memimpin gerakan menuntut kebebasan media ini, sehingga tercari-cari susuk tubuh pimpinan NUJ dalam forum berjudul “Bebaskan Media” itu.

Tidak dinafikan bahawa ledakan teknologi maklumat telah menembusi sekatan maklumat oleh pemerintah dan monopoli pemodal.  Namun kemunculan medan internet pada masa yang sama juga telah memisahkan satu Malaysia kepada dua dunia yang berbeza.  Pengamal media yang kritis dan berani, dan kecewa dengan media cetak arus perdana, akhirnya meninggalkan media tradisional untuk menerokai media baru di ruang internet.

Namun perkembangan sedemikian menimbulkan persoalan.  Kita akur dengan hakikat bahawa media cetak memainkan peranan penting untuk menyebarkan maklumat di kawasan kampung, kerana maklumat alternatif masih belum dapat disalurkan ke situ lantaran kemudahan internet yang serba kurang.  Malangnya, medan media cetak pula didominasi oleh pengamal media yang kebanyakannya (walaupun bukan semua) konservatif, tunduk kepada telunjuk, takut melanggar undang-undang drakonian – maka sudah tentu ruang kebebasan media cetak akan dicerobohi penguasa sewenang-wenangnya.

Itulah sebabnya mengapa media cetak tidak berkembang ke mana.  Mereka “survive” dengan tajaan iklan syarikat GLC atas arahan kerajaan UMNO-BN, atau ketidaksampaian maklumat internet ke kawasan tertentu.  Mereka gagal bersaing dari segi kualiti kandungan, jauh lagi dari segi etika media. 

The Heat, membeliakkan mata sesetengah pembaca, dengan kupasan yang menarik, pandangan yang bernas dan disokong dengan fakta.  Malangnya, bahasa pengantarnya Inggeris, yang tidak berkesan untuk berkomunikasi dengan masyarakat kampung.  Kualiti kandungannya mungkin menjadi teladan untuk media cetak yang lain, pada masa yang sama tidak menutup hakikat bahawa The Heat juga pesaing hebat.  Cabarannya, apakah pesaingnya sanggup menanggung risiko, semata-mata untuk menghulurkan tangan kepada pesaingnya yang kini ditekan pemerintah?

Bekas wartawan Utusan Malaysia, Hata Wahari bersikap pesimis untuk mengulangi seruan “Lupakan saja mereka (pengamal media arus perdana).”  Pandangan ini disanggah terus oleh aktivis yang lain, kerana gerakan menuntut kebebasan media harus terbuka untuk merangkumi seramai pengamal media yang mungkin.  Persoalan seterusnya, bagaimana?

Senario beberapa tahun kebelakangan memperlihatkan bagaimana pengamal media internet bersuara lantang untuk menentang penindasan penguasa ke atas pengamal media cetak.  Sebaliknya, apabila pencabulan kebebasan berlaku terhadap pengamal media internet, adakah pengamal media cetak akan tampil untuk menunjukkan solidariti yang setimpal?  Ini realitinya.  Lama-kelamaan ia pasti melemahkan semangat.  Pertama, orang yang anda bantu tidak menghulurkan bantuan apabila anda dizalimi; kedua, orang yang dizalimi sendiri keberatan untuk menyelamatkan dirinya, mengapa orang lain pula yang menyibuk?

Kita boleh bertindak atas prinsip mempertahankan kebebasan bersuara, persoalannya adakah air di sini mampu menyelamatkan api di sana?  Sejauh manakah kemampuan aktivis media sama ada NGO mahupun wartawan media internet untuk berhempas-pulas memadamkan api yang membakar media cetak, sedangkan “niat baik” ini tidak semestinya diiktiraf, bahkan mungkin ditolak?

Persoalan ini kekal tidak terjawab, selagi pengamal media cetak membisu dengan seribu satu alasan.  Gerakan ini boleh menuntut pemansuhan akta ini dan itu, tetapi penguasa sekadar memperlekehkan dengan kenyataan “dia orang tak bising pun, apa yang kamu menyibuk?”  Gerakan ini boleh mengumpul ribuan tandatangan orang awam, tetapi pengamal media arus perdana sendiri keberatan untuk menurunkan namanya.  Pengamal media cetak boleh terus merungut, gaji dan elaun yang rendah, dibiarkan menunggu berjam-jam untuk sidang media yang belum pasti akan diadakan, dihalang untuk melontarkan soalan dan sebagainya… Tetapi selagi tiada penglibatan yang agresif daripada pengamal media cetak, semua gerakan oleh aktivis di laman internet akan dipadamkan begitu sahaja.

Saya bukan memperlekehkan sesiapa, atau tidak bertimbang rasa, sebaliknya saya cuma lebih jujur dengan apa yang berlaku.  Seandainya kita mahu mengambil sikap lunak terhadap pengamal media arus perdana, maka jangan kita menyasarkan matlamat yang terlalu tinggi, misalnya pemansuhan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.  Sudah tentu ia tidak akan berjaya, dan kemudian kita diselubungi emosi geram kerana kalah lagi dalam perjuangan.

The Heat bukan mangsa terakhir, jikalau pengamal media cetak masih selesa dengan suhu air yang meningkat secara perlahan-lahan.  Mereka yang tidak tahan dengan bahang telah melompat ke media internet, atau sektor lain.  Moga-moga mereka yang masih berada dalam air panas, sempat bangkit melonjak sebelum terlambat. http://prisma.com.my/

Tiada ulasan: