HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Disember 2013

Amar Singh: Saya tak sebut NGO rancang pengeboman


MALAYSIAKINI
 
 
 
Timbalan ketua polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata beliau tidak pernah menyebut bahawa empat NGO yang mendalangi perhimpunan membantah kenaikan kenaikan kos sara hidup pada 31 Disember merancang untuk membuat pengeboman pada malam sambutan tahun baru itu.

Laporan Utusan Malaysia yang memetik kenyataan Amar Singh menyebut, pegawai polis itu menjelaskan bahawa risiko pengeboman tersebut mungkin dibuat oleh peserta lain.

“Ketika sidang akhbar, saya menyebut tentang empat NGO itu dikenalpasti akan hadir dan berhimpun di situ. Perhimpunan itu pula salah di sisi undang-undang dan mereka tidak dibenarkan berhimpun kerana tidak memohon sebarang permit.

“Kenyataan saya tentang ancaman bom dan senjata berbahaya itu tidak menjurus kepada NGO terbabit sebaliknya berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh individu di laman Facebook sebelum ini,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rancangan dua dari NGO terbabit, Solidariti Anak Muda Malaysia dan Jingga 13 untuk mengemukakan saman ke atasnya kerana dikatikan dengan rancangan melakukan pengeboman pada malam tersebut.

NGO tersebut bertegas bahawa perhimpunan berkenaan adalah untuk membantah kenaikan kos sara hidup dan bukannya untuk melakukan tindakan keganasan untuk menggulingkan kerajaan.

Amar Singh dalam sidang medianya pada hari Sabtu lalu membacakan kenyataan yang menyebut nama Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) serta gabungan beberapa NGO.

"Kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini telah menguar-uarkan dalam laman web dan laman sosial dengan memberitahu orang ramai bahawa mereka akan menggulingkan kerajaan dengan cara mengadakan perhimpunan tersebut.

"Mereka juga telah membuat beberapa siri perhimpunan yang tidak mematuhi undang-undang di beberapa lokasi dan negeri dengan cara menghasut orang ramai khususnya anak muda untuk bersama-sama mereka turun mengguling kerajaan.

"Tidak dinafikan juga bahawa kumpulan ini turut melakukan kekecohan apabila hadir dengan mendirikan khemah di sekitar Dataran Merdeka, membawa peralatan atau senjata berbahaya seperti bom tangan, topeng gas amalah mereka juga sanggup merempuh halangan dan bertempur dengan pihak polis serta lain-lain tindakan yang menyalahi undang-undang," kenyataan itu dipetik.

Tiada ulasan: