HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Disember 2013

‘Kera di hutan disusukan, anak di Kuantan dibiarkan,’ kata Fuziah

THE MALAYSIAN INSIDER

 




Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (gambar) melahirkan rasa kecewa dengan sikap kerajaan pusat yang dilihat pantas ketika menghulurkan bantuan bernilai jutaan ringgit kepada mangsa bencana alam di luar negara berbanding mangsa banjir di kawasannya iaitu Kuantan.

“Kita lihat apabila berlaku bencana di negara lain, baik kerajaan sendiri atau badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kerajaan begitu cepat menghulurkan bantuan bernilai jutaan ringgit.

“Kalau ada bencana di luar negara cepat sahaja bantuan dihulurkan tetapi dalam isu banjir di Kuantan, kita masih belum dengar pengumuman bantuan yang besar. Kita bimbang penduduk Kuantan dianaktirikan hanya disebabkan idealogi politik,” katanya sebagaimana dilaporkan Selangor Kini.

Kuantan dan Kemaman menghadapi banjir terburuk dalam sejarah mereka di mana ribuan mangsa terpaksa dipindahkan manakala kerugian dijangka jutaan ringgit.

Ia berupa kerosakan kepada kenderaan, kemusnahan kepada tanaman dan haiwan ternakan serta barangan dalam rumah apabila air menenggelami rumah mangsa.

Ketika ditimpa banjir teruk, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiarkan iklan memohon bantuan untuk mangsa taufan di Filipina.

Ketika itu, mangsa banjir terasa mereka dipinggirkan oleh negara sendiri. 

Menurut Fuziah,  dalam beberapa siri kejadian bencana alam di luar negara, lazimnya kerajaan bersedia menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk wang tunai, minuman, makanan, selimut, pegawai perubatan, anggota keselamatan dan sukarelawan lain daripada NGO berkaitan kerajaan.

"Kelab Putra Satu Malaysia (KP1M) turut menghantar sukarelawan yang dilengkapi doktor dan pelbagai kelengkapan lain melalui Misi Bantuan Kemanusiaan Bencana di beberapa negara seperti bencana Taufan Haiyan di Filipina dengan menelan kos perbelanjaan yang tinggi.

"Pemergian sukarelawan kelab itu juga mendapat perhatian khas daripada kerajaan dengan diiringi pasukan keselamatan dan dibawa dengan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM)," ujar beliau.

Walaupun usaha murni itu dialu-alukan, Fuziah kesal situasi seperti itu tidak berlaku ketika penduduk Kuantan menghadapi bencana banjir apabila kelibat sukarelawan kelab yang dipengerusikan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim itu langsung tidak kelihatan.

"Kebanyakan mangsa banjir ketika itu terpaksa menyelamatkan diri sendiri sama ada dengan bantuan orang ramai atau bantuan daripada Jabatan Amal PAS dari luar Pahang.

"Jabatan Amal yang lebih gemar tidak menonjolkan diri dengan sebarang publisiti memainkan peranan cukup penting daripada awal banjir sehingga ke peringkat membantu penduduk membersihkan kediaman selepas banjir," jelas Fuziah.

Tiada ulasan: