Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim  
Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim.


PUTRAJAYA - Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim hari ini menyarankan supaya rakyat dan kerajaan mengamalkan langkah berjimat cermat bagi mendepani tahun mencabar 2014.

Jelas, Muhammad Ali yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (1982-2010) itu, langkah berjimat cermat perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak (kerajaan dan rakyat) bagi memastikan tahap ekonomi kita sentiasa berada pada keadaan terbaik.

" Kedua-dua pihak kena beringat.

"Tahun hadapan mungkin tahun  mencabar bagi kita semua, oleh itu saya sarankan semua pihak supaya mengamalkan langkah berjimat-cermat.

"Bagi rakyat kita jangan membazir sentiasa berhati-hati dalam berbelanja,manakala bagi pemerintah pula kurangkan kos, kaji semula projek-projek yang tidak bermanfaat, elakkan ketirisan," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Agung (DPIM) di Putrajaya hari ini.

Sementara ketika  disoal mengenai langkah terbaik kerajaan bagi menangani kos kenaikkan sara hidup , Muhammad Ali mencadangkan supaya kerajaan menilai semula dasar sedia ada, supaya penambahbaikan yang holistik dapat dilakukan.

"Mungkin dasar sedia ada boleh disemak semula supaya kita berada dalam 'win-win situation' .

"Rakyat tidak terbeban manakala kerajaan terus dapat memastikan ekonomi kita berada pada keadaan yang baik," katanya.