SHAH ALAM - Tindak tanduk kerajaan yang membelakangkan rakyat dengan mengumumkan siri kenaikan yang menyebabkan kos taraf hidup tinggi sepatutnya turut dibantah pemimpin BN.
Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, ia kerana perkara tersebut merentasi kepartian apabila semua rakyat akan terasa dengan kenaikan taraf hidup bermula tahun depan.
“Tidak kira penyokong kerajaan mahupun pembangkang kali ini akan terasa dengan kenaikan kos taraf hidup.
“Sepatutnya pemimpin BN berani menyatakan bantahan mereka supaya dapat bersama rakyat dan pembangkang untuk membantah tindakan kerajaan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pulai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed menyuarakan ketidakpuasan hatinya apabila kerajaan dengan langkah drastik mengumumkan siri kenaikan sekaligus menambahkan beban rakyat.
Dalam pada itu, beliau yang menyokong tindakan Nur Jazlan mengalu-alukan pemimpin-pemimpin BN lain supaya berani menyatakan pendirian demi rakyat.
“Kita PR memang dari awal lagi menyatakan bantahan dan berpendirian jangan bebankan rakyat. Rakyat sekarang harapkan kerajaan berubah untuk jadi lebih jimat cermat, berhemah dan mengurangkan rasuah.
“Lakukan itu demi rakyat, kita tidak perlu mengambil kira dari mana-mana parti politik, apa yang patut dibantah kita bantah,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan