SINAR HARIAN


KUALA LUMPUR - Ramai kalangan perniagaan di Malaysia mengambil sikap 'Tunggu dan Lihat' dalam persiapan mereka menghadapi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Pengarah Eksekutif bagi Percukaian Crowe Horwath Malaysia, Fennie Lim berkata, sektor perniagaan perlu mengetahui kedudukan mereka memandangkan GST bukan semata-mata isu percukaian dan kewangan.

"Ia memberi kesan kepada semua bahagian operasi perniagaan, bermula daripada sistem teknologi maklumat, perolehan, jualan dan pemasaran, jabatan penetapan harga, hubungan dengan pembekal, hubungan dengan pelanggan, sehinggalah kepada aliran tunai.

"Kesemua mereka mesti mengetahui mengenai GST dan kesannya ke atas peniagaan mereka dalam tempoh peralihan ini," katanya kepada Bernama.

Crowe Horwath Malaysia ialah firma perakaunan kelima terbesar di negara ini dan merupakan ahli Crowe Horwath International, rangkaian 10 firma perakaunan global terkemuka dunia.

"Enam belas bulan dari sekarang bukan merupakan tempoh yang panjang untuk membuat persediaan perlu. Sekarang adalah masa yang sangat baik untuk memulakan perancangan," kata Lim.

Beliau mencadangkan semua jabatan dalam syarikat supaya membuat senarai semak dan menilai tahap pengetahuan mereka tentang GST dan bagaimana ia akan memberi kesan terhadap harga masing-masing.

"Mereka kemudiannya boleh membuat semakan menggunakan sistem perakaunan untuk menentukan sama ada semua maklumat dirakam.

"Memang senang untuk membuat silap jika mereka semata-mata bergantung kepada tenaga manusia," katanya.

Sementara itu, Eksekutif GST Crowe Horwath Australia Chan Wai Choong berkata, perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh sektor perniagaan dalam melaksanakan GST ialah membuat perancangan awal dan menggunakan kaedah berstruktur.

"Senaraikan aktiviti yang perlu dilakukan, secepat yang boleh. Dari situ anda boleh melaksanakan rancangan itu dan bersedia untuk percubaan. Ada pepatah mengatakan jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal," kata Chan.

Crowe Horwath Malaysia kini membantu kebanyakan pelanggan untuk melakukan kajian pelaksanaan praGST bagi menentukan kesan GST ke atas aliran tunai dan harga mereka.

"Kami melakukan analisis transaksi, dan dari sini kami akan dapat melihat kedudukan dan sejauh mana mereka sudah bersedia melaksanakan GST.

"Kami juga akan mengkaji perkara yang mereka perlu masukan, jenis sistem dan banyak penambahbaikan perlu untuk memastikan mereka bersedia.

Ini akan menjadi asas yang baik jika mereka mahu membuat sebarang pelarasan harga, kata Lim.

Beliau berkata banyak pelanggan dan bukan pelanggan telah mengikuti sesi taklimat, latihan dan seminar.

"Kami menerima banyak pertanyaan, mereka berminat untuk mengetahui lebih lanjut. Kebanyakan perniagaan bersikap positif selepas memahami GST memandangkan mereka boleh menuntut cukai input," kata Lim. - Bernama