Penggantungan penerbitan akhbar mingguan The Heat baru-baru ini merupakan satu isyarat penting dari Putrajaya kepada komuniti antarabangsa.
Bersama-sama pelarangan buku sastera, pengharaman mazhab tertentu dan kini tekanan terhadap media, Malaysia sedang mencabul kebebasan bersuara yang terpapar dalam Artikel 19 yang termuat dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948.
Kebebasan bersuara atau ekspresi sangat penting kerana ia memperkasakan individu dan komuniti yang bebas dan demokratik.
Malah kebebasan bersuara adalah asas untuk melindungi serta mempertahankan belahan atau aspek hak asasi manusia yang lain.
Oleh kerana kebebasan bersuara ini boleh dikekang, maka aspek-aspek hak asasi manusia yang lain seperti kebebasan beragama atau berkepercayaan juga tidak dapat dinyatakan dengan lancar.
Ia juga dibimbangi membawa kepada cengkaman lebih keras dan permulaan kepada segala kuku besi.
Pada tahun 2012, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah melancarkan UN Plan of Action on the Safety of Journalists and the Issue of Impunity yang menekankan supaya negara dan masyarakat sivil bertindak melindungi jurnalis dari sebarang kekerasan termasuklah pembunuhan, penculikan dan gangguan suasana bekerja mereka.
Kempen utama 20 tahun
Adalah mengejutkan Malaysia yang aktif dan waras di peringkat antarabangsa memilih untuk melakukan aksi lokal yang tidak konsisten dengan sikap masyarakat antarabangsa lain.
Pada 6 Mei 2012, tiga hari selepas Hari Kebebasan Media Sedunia, Datuk Seri Najib Razak, perdana menteri Malaysia menegaskan pentadbirannya sangat menghormati kebebasan media. Akan tetapi hari ini, suasana tersebut telah berubah sama sekali.
Adalah penting untuk diingatkan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga telah menerima pakai Deklarasi Windhoek 1991 dan dijadikan kempen utama oleh UNESCO selama dua puluh tahun kini.
Deklarasi tersebut menekankan supaya kerajaan memberikan ruang penuh untuk kebebasan media, bahkan menyediakan persekitaran yang pluralistik untuk media.
Ini bermaksud Deklarasi tersebut menuntut supaya disediakan satu persekitaran media yang bebas dari cengkaman kerajaan, serta kawalan politik mahupun ekonomi.
Lanskap pluralistik yang dimaksudkan dalam Deklarasi ini pula meminta kerajaan menyediakan platform seberapa banyak mungkin untuk komuniti media tanpa mengehad, atau menyekat mereka.
Deklarasi Windhoek tersebut hari ini turut merangkumi media cetak, penyiaran, bahkan media digital. Malahan ia turut melindungi kebebasan bersuara melalui telefon tangan, Internet, satelit atau dalam erti kata lain, apa sahaja jenis komunikasi.
Aksi 'glokal' yang buruk
Deklarasi ini sejajar dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948; serta resolusi UN Commission on Human Rights 2005/81; dan resolusi Majlis Keselamatan 1738 pada tahun 2006.
Masyarakat yang sihat dan matang adalah masyarakat yang beroleh semua sumber maklumat.
Deklarasi ini menunjukkan isu kebebasan media menjadi satu bahagian paling sensitif dan fundamental yang melibatkan badan-badan kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil, pengamal media dan setiap pengguna media.
Penggantungan The Heat bagaimanapun adalah isyarat yang sebaliknya.
Ia adalah KPI kepada kemerosotan hak asasi manusia yang sangat ketara di negara ini dan juga menjadi indikator ketidakbolehpercayaan Malaysia di peringkat antarabangsa yang mana di pentas global Malaysia sering menjadi juara dan bersuara; tetapi di peringkat glokal Malaysia sering memilih untuk melakukan sebaliknya.
Aksi “glokal” yang buruk begini membawa citra buruk buat negara dan tidak membantu imej moderat mahupun wasatiyyah yang diingin dan dicanang oleh pentadbiran Najib (atas).
Pengamal media, malahan seluruh ahli masyarakat wajar mengingatkan pentadbiran negara ini kepada Deklarasi Windhoek.
Hak untuk mendapat maklumat tanpa tapisan adalah hak setiap individu yang merupakan asas kepada hak asasi manusia.
Penggantungan, pelarangan dan pengehadan media atau apa sahaja medium komunikasi adalah tindakan ke belakang yang meletakkan Malaysia dalam barisan negara-negara terhambat.
DR MOHD FAIZAL MUSA ahli akademik di sebuah universiti tempatan dan pengarang sastera terkenal. Beliau turut menggunakan nama pena Faisal Tehrani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan