HALAMAN SANTAI
Isnin, 30 Disember 2013
Hentikan ‘maksiat’ tahun baru, berdoa ikut agama masing-masing, kata Mufti Perak
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) meminta kerajaan menghentikan sambutan tahun baru yang menjurus ke arah kemaksiatan, dan digantikan dengan acara keagamaan.
Harussani berkata adalah lebih baik kerajaan menyarankan rakyat mengadakan upacara keagamaan di rumah ibadat masing-masing, seperti yang dilaksanakan oleh perdana menteri pertama.
“Pada zaman Tunku Abdul Rahman (Al Haj), beliau meminta supaya setiap kali malam sambutan tahun baru, penganut agama masing-masing berdoa untuk kesejahteraan dan keamanan negara daripada malapetaka dan bencana alam.
“Tapi sekarang, pesta maksiat yang diadakan bagi sambutan tahun baru, ini yang menyedihkan.
Sekiranya dapat dilaksanakan perkara tersebut, mungkin kegiatan maksiat dapat dielakkan,” katanya dipetik akhbar Sinar Harian.
Katanya, walaupun sebelum ini kerajaan mengadakan program ceramah agama setiap kali malam tahun baru, namun ia tidak mendapat sambutan.
“Ini masanya kita pupuk kembali apa yang telah kita tinggalkan supaya dapat mengembalikan suasana sambutan tahun baharu yang lebih keagamaan.
“Ajar rakyat supaya mereka lebih mendekatkan diri dengan keagamaan supaya mereka tidak terlalu terdedah dengan aktiviti maksiat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan supaya bertemu dengan ketua semua agama dan mengarahkan mereka mengadakan program keagamaan di rumah ibadat masing-masing.
“Sekiranya kerajaan serius rasanya boleh berbincang perkara ini dengan ketua agama masing-masing. Kita juga menunggu berita yang menggembirakan supaya tiada lagi pesta maksiat.
“Kalau mahu pun untuk menyambut tahun baharu, mungkin tidak perlu sambutan yang melalaikan kerana akan mendekatkan dengan perkara yang tidak baik,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan