HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Disember 2013

Majlis Peguam gesa mansuhkan Akta Mesin Cetak, tubuh badan media yang bebas

OLEH DIYANA IBRAHIM

 

















Majlis Peguam Malaysia menggesa kerajaan agar memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekaligus menubuhkan sebuah badan media yang bebas.

Presidennya, Christopher Leong (gambar) berkata akta tersebut perlu dimansuhkan memandangkan ia tidak lagi dilihat sebagai undang-undang yang boleh diguna pakai dan relevan dalam negara demokrasi moden hari ini.

Beliau juga menyifatkan akta tersebut telah disalahgunakan apabila dilihat memberi ruang kepada pembelian, ugutan, menjejaskan serta menghukum media yang sepatutnya bebas daripada kuasa kerajaan.

"Pemansuhan akta tersebut tidak bermakna penerbit boleh menulis apa sahaja. Bagaimanapun bertitik tolak pada situasi kini, kerajaan perlu mempertimbangkan mewujudkan sebuah badan media yang bebas tidak tertakluk dengan mana-mana kuasa.

"Sekiranya terdapat aduan penyalahgunaan penggunaan tulisan atau apa sahaja ia boleh diuruskan oleh Majlis Media yang diwakili oleh media sendiri, wakil daripada perkhidmatan awam dan mana-mana pihak berkait," katanya.

Majlis Peguam yang mengutuk insiden penggantungan akhbar mingguan The Heat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana menyiarkan laporan perbelanjaan mewah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor itu telah mencemar Perkara 10 Perlembagaan iaitu setiap rakyat dibenarkan mengamalkan kebebasan bersuara dan meluahkan pandangan.

"Sehingga sekarang penggantungan tersebut menimbulkan tanda tanya selain tiada penjelasan yang kukuh, pengarang pula tidak diberi peluang untuk membela diri terlebih dahulu dan sekali lagi bercanggah dengan Akta 13 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Kerajaan perlu sedar terdapat perbezaan yang ketara berkaitan dengan peranan pemilikan media, wartawan profesional dan pengurusan yang sekiranya berlaku kesalahan seperti mana rakyat Malaysia lain media akan tertakluk hanya kepada kuasa mahkamah.

Beliau berkata tindakan KDN terhadap akhbar The Heat adalah satu lagi siri  serangan mengejut ke atas media yang terbaru dilakukan kerajaan.

"Kebebasan media adalah lambang kepada negara demokrasi, kerana itu Malaysia dan rakyatnya memerlukan dan layak menerima kebebasan ini," katanya.

Tiada ulasan: