HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Disember 2013

Pesta demokrasi dan polis moral


Oleh Mahdzir Ibrahim


Dalam konteks dun iawi, sambutan pesta tahun baru, sambutan hari merdeka dan yang seumpama dengannya adalah manifestasi dari sebuah pesta yang lebih besar iaitu pesta meraikan demokrasi.

Tanpa demokrasi, pesta-pesta ini tidak akan menjadi “pesta”, sebaliknya menjadi aktiviti ritual yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi, terpisah-pisah dan rahsia.

Tidak ada liputan, tidak ada jemputan keramaian dan tidak ada “politik” bermasyarakat. Jika demikian rupanya, seakan kita tidak bernegara, tidak berkomuniti dan tidak bersolidariti.

Tidak ada manusia yang tidak suka berpesta, yang bersukan pestanya di temasya sukan, yang suka membaca pestanya di pesta jualan buku begitu juga dengan yang lain-lain.

Kesemua pesta-pesta ini disambut dengan “bahasa” dan “gaya” masing-masing, hakikatnya itulah pesta untuk meraikan diri, kelompok, budaya dan kepercayaan masing-masing.

Pesta demokrasi dibajak

Namun, pesta-pesta rakyat yang muncul dalam ruang demokrasi itu, pada hari ini bukan lagi pesta yang dirai sepertimana sebelumnya, kini ia telah dibajak oleh golongan mereka-mereka yang anti demokrasi.

Mereka yang anti demokrasi ini datang dari dua golongan, iaitu golongan mereka yang berada dalam politik kuasa iaitu pemimpin elit Umno Barisan Nasional (BN) dan golongan kedua adalah mereka yang mahu menjadi polis moral yang terdiri di kalangan tokoh masyarakat, badan bukan kerajaan seperti Perkasa, Jati dan segala suku-sakat Umno.

Hasil bajakan dua golongan itu, pesta-pesta ini menjadi plastik, kaku, kering dan “poyo”, ia bertukar menjadi pesta merai pemimpin politik yang memusuhi demokrasi terbuka dan juga mereka yang memusuhi semangat kepelbagaian kaum dan budaya.

Pada awalnya, golongan “politik kuasa” Umno BN ini melihat pesta-pesta rakyat sebagai tempat untuk mereka menyelit dan mencelah didalam himpunan-himpunan rakyat.

Bagi mereka, peluang ini bukan mudah untuk diperolehi. Maka berduyun-duyunlah ahli politik Umno BN turun menebeng tunjuk muka dengan ucapan dan slogan jeritan yang membodohkan rakyat.

Tidak cukup dengan itu, pesta plastik dibuat sebanyak-banyaknya agar golongan ini akan dapat lebih kerap muncul dipentas-pentas pesta rakyat. Pesta-pesta bangang mula muncul sebagaimana munculnya Tan Sri Isa Samad dari keranda politiknya.

Tak cukup lagi, mereka “paksa” rakyat untuk datang meramaikan pesta plastik mereka dengan pelbagai helah, tarikan dan imbuhan yang bukan-bukan.

Tak cukup lagi, sebarang pesta-pesta lain yang tidak mengiktiraf kuasa politik mereka, pesta itu akan diharamkan. Tak cukup diharamkan, pesta itu dikaitkan pula dengan aktiviti keganasan dan jenayah.

Malah contoh terbaru, apabila anak-anak muda mahu sambut tahun baru dengan pesta demokrasi Turun, pesta ini dilabel menjadi ancaman untuk menggulingkan kerajaan, ugutan bom dan sebagainya yang akhirnya bertujuan agar rakyat menjauhi dan membencinya.

Tak cukup dengan menghentam pesta demokrasi oleh kumpulan anak muda yang pro-demokrasi, pesta anjuran disebelah Umno BN sendiri pun turut dihentam oleh golongan “polis moral” sebagai pesta maksiat.

Inilah lawak politik kumpulan yang anti demokrasi ini. Dia sama dia kini sedang bercelaru atas faham dan amalan demokrasi.

Yang berkuasa (Umno BN), tak peduli pesta apa, janji pesta yang boleh umpan orang ramai datang, dengan niat mahu tunjuk mereka mendapat sokongan rakyat.

Yang polis moralnya pula, mereka jadi tak keruan apabila melihat pesta-pesta atas restu Umno BN ini akan jadi pesta maksiat.

Etnosentralisme

Mentaliti kedua-dua golongan ini jelas menunjukan bahawa mereka adalah golongan etnosentralisme (ethnocentrism) yang mengukur dan menilai karekter dan budaya pihak lain dari ukuran nilai budaya mereka sendiri. Inilah yang dikatakan sebagai hegemoni kuasa dan budaya Umno BN.

Maksudnya, bagi golongan elit politik Umno BN, mereka menilai pesta demokrasi Turun anak-anak muda ini bertentangan dengan nilai politik mereka iaitu “menyokong” nilai-nilai kerajaan Umno BN. Inilah kiblat dan iman kumpulan elit politik tersebut.

Bagi polis moral Umno BN, mereka ini pula menilai hukum moral rakyat yang berpesta sambutan tahun baru ini berdasarkan faham dan kepercayaan golongan mereka sahaja.

Sedangkan pesta yang dinilai mengikut selera mereka itu hakikatnya adalah pesta berbilang kaum, pelbagai budaya dan agama. Jadi bagaimana mungkin nilai moral itu, hanya cocok dengan hukum moral golongan polis moral ini sahaja.

Mentaliti etnosentralisme ini mendorong penganutnya untuk bersikap negatif dan pejoratif atau menindas budaya lain. Sebaliknya sikap ini akan mencambah budaya perkauman dan anti kebebasan.

Faham sebegini membentuk hegemoni sesuatu kaum dan juga kuasa. Faham ini menjadi sempurna apabila semua aktviti pesta demokrasi dihodohkan menjadi pesta maksiat, pesta huru-hara dan sebagainya. Inilah yang dikatakan golongan anti-demokrasi.

Untuk mewujudkan satu ruang budaya dan demokrasi yang adil sebagai sebuah Impian Malaysia, tiada tempat untuk golongan polis moral dan politikus yang anti demokrasi. Itu pra-syaratnya.

Namun, jika sebaliknya berlaku, maka jelaslah bahawa slogan transformasi anjuran parti Umno BN, telah bertukar menjadi slogan yang anti demokrasi.

Mereka yang anti demokrasi adalah mereka yang fasis dan autokratik, tidak kira anda bergelar Haji, Pastor, Sami, Dato’ Seri, Tan Sri, Doktor atau Profesor. –

* Penulis juga adalah Ahli Jawatankuasa DAPSY Pusat dan peminat seni dan kebudayaan.

Tiada ulasan: