MALAYSIAKINI
Aktivis media semalam menolak alasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa penggantungan akhbar The Heat adalah bersangkutan dengan kegagalan mingguan itu mematuhi peruntukan teknikal dalam permit penerbitannya.
Dalam satu forum untuk menyatakan semangat setiakawan dengan The Heat, Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar secara terang-terangan menyifatkan alasan itu sebagai "karut".
Menurut Fathi, kerajaan mempunyai sejarah menggantung satu-satu penerbitan atas alasan teknikal apabila mereka tidak gembira dengan isi kandungannya.
Beliau memberikan contoh mingguan berita politik Eksklusif yang diterbitkan Karangkraf dan ditutup pada bulan April 1999 selepas pilihan raya umum 1999 atas alasan lesennya tamat tempoh.
Kartunis politik Nor Afendi Ramli, yang turut hadir sebagai ahli panel forum menambah hujah itu dengan mengimbau kembali penerbitan seperti Tamadun, Detik dan Al-Wasilah yang turut "digantung tidak bertali" atas alasan teknikal dan tidak diizinkan untuk diterbitkan semula.
"KDN boleh guna apa-apa alasan teknikal untuk penggantungan.
"Dalam kes Al-Wasilah, alasan diberikan adalah kerana nama penerbitan itu mengandungi perkataan 'Al' sedangkan hakikatnya adalah kerana isi kandungannya," kata Afendi, yang lebih dikenali sebagai Ronasina.
Menurutnya, "penggantungan" adalah istilah yang lebih enak didengar walaupun hakikatnya ia sama sahaja dengan "pengharaman".
The Heat adalah mangsa terbaru Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 selepas KDN menggantung permitnya tanpa tempoh yang jelas.
Tindakan itu diambil selepas mingguan berita itu menerbitkan rencana muka depan bertajuk "All eyes on big-spending PM Najib" yang menonjolkan lawatan ke luar negara oleh Datin Seri Rosmah Mansor dan bayaran perunding cara yang mahal.
KDN bagaimanapun menafikan penyiaran rencana itu menjadi punca penerbitan itu digantung dan memberikan alasan "pelanggaran peruntukan permit penerbitan".
Forum di Kuala Lumpur itu semalam dianjurkan oleh Gerakan Media Marah (GERAMM) - satu perikatan longgar wartawan, editor dan aktivis - yang dicetuskan oleh penggantungan The Heat.
Seruan untuk bertindak
Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan berkata wartawan perlu memikul sebahagian daripada tanggungjawab atas kekurangan kebebasan media dalam negara ini.
Beliau menyeru wartawan-wartawan kali ini agar bertindak terhadap penggantungan The Heat.
"Saya rasa kita belum bertindak secukupnya ke arah kebebasan media.
"Kita secara bersama mengecewakan jutaan orang Malaysia yang berharap agar kita membawakan perubahan.
"Saya faham sebab di sebalik sikap ramai wartawan yang tidak mahu menongkah arus, terutamanya yang bekerja dalam media arus perdana.
"Tapi jika kita teguh bersama, kita boleh gugah taikun dan parti-parti politik yang memiliki sebahagian besar media hari ini," katanya.
Beliau menggariskan tiga syarat utama untuk "perubahan" berlaku - pembangkang yang kuat, pertubuhan masyarakat sivil yang bugar, dan media yang bebas - namun tegasnya syarat terakhir itu tegasnya masih belum jelas kelihatan.
Menurutnya, walaupun pembangkang telah menambah bilangan kerusi mereka sebanyak lima kali ganda sejak pilihan raya 1999 dan pertubuhan masyarakat sivil seperti BERSIH dan Hindraf telah muncul - suasana masih lagi kekal serupa.
"Kerajaan sedar akan hakikat ini dan kerana itulah mereka menambat dengan kemas 'ikatan' ke atas salah satu unsur ini (media) kerana mereka sudah hilang kawalan ke atas dua kuasa lain," katanya.
Sementara itu, wakil Wartawan Tanpa Sempadan, Hata Wahari menggesa hadirin terutamanya wartawan-wartawan muda agar mengambil sikap lebih keras terhadap serangan ke atas kebebasan media.
Hata yang dipecat oleh Utusan Malaysia kerana kritikannya terhadap majikannya sendiri sewaktu memikul tanggungjawab sebagai presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) berkata KDN tidak akan memandang serius akan petisyen dan forum.
Forum bertajuk "Bebaskan media: Berani lawan" itu dimudah cara editor FZ.com Zakiah Koya, dan turut menampilkan Ketua Pemberita Free Malaysia Today G Vinod, Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas Masjaliza Hamzah dan Penolong Editor Berita The Malaysian Insider V Anbalagan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan