Pekida bantah perhimpunan di padang MBKT  
Ahmad Sukri (tiga kanan) bersama sebahagian ahli Pekida Kuala Terengganu menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGAMU - Pertubuhan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Daerah Kuala Terengganu mengadakan demonstrasi aman membantah usaha pihak tertentu yang mahu mengadakan perhimpunan haram di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini.

Bantahan dan demonstrasi aman yang diadakan di padang Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT) itu disertai kira-kira 150 ahli Pekida Daerah Kuala Terengganu. 

Kumpulan itu kemudian berarak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu terletak 300 meter dan membuat laporan polis kira-kira jam 3.30 petang.

Pengerusinya, Ahmad Sukri Abdullah, 50, ketika ditemui media berkata, bantahan tersebut sebagai menyatakan kebimbangan terhadap gerakan dipercayai merancang mahu menggulingkan kerajaan pilihan rakyat pada pilihan raya lalu.

Menurutnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang bercadang untuk mengadakan perhimpunan haram tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat yang cintakan keamanan dan ketenteraman.

“Kami mohon pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas kepada pihak penganjur dan dalang perhimpunan ini.  Kami juga menyeru kepada orang ramai, belia dan beliawanis supaya tidak terlibat dalam perhimpunan.

“Perhimpunan ini hanya akan menyebabkan kesan negatif  kepada semua,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, perkara tersebut perlu dipandang serius kerana usaha untuk menggulingkan kerajaan itu boleh menimbulkan kacau bilau dan menggugat keselamatan negara.

Hal tersebut turut disokong oleh Penasihat Pekida Daerah Kuala Terengganu, Noor Adzmy Mohamad, 61.

Noor Adzmy berkata, sekiranya perhimpunan tetap diadakan bukan sahaja gugat keamanan negara tetapi turut mengganggu aktiviti perniagaan di sana.

“Tindakan sesetengah pihak mahu mewujudkan suasana tidak tenteram dengan mengadakan perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan atau mana-mana individu terbabit khususnya penganjur wajar dikenakan tindakan,” katanya.