HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Disember 2013

Pakar: Tak mampu? Jangan beli keperluan sekolah mewah

 

 

Dalam keterujaan menyediakan keperluan sekolah, terutama untuk si cilik yang baru melangkah ke alam persekolahan, ibu bapa di negara ini diingatkan agar melaksanakan pembelian bersandarkan 'ukur baju di badan sendiri'.

Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor berkata ini kerana, gaya hidup masa kini menyaksikan ramai ibu bapa yang bersaing sesama sendiri untuk menyediakan kelengkapan persekolahan berjenama untuk anak masing-masing meskipun kurang berkemampuan.

"Sekarang ini, kalau dilihat, bukan sahaja kanak-kanak yang teruja, ibu bapa yang terlalu teruja sehingga semua barangan persekolahan dari hujung rambut hingga hujung kaki anak-anak adalah barangan berjenama.

"Jika ibu bapa itu berkemampuan, tidak menjadi masalah, namun apa yang dibimbangi apabila ibu bapa yang kurang berkemampuan pun turut sama mahu anak mereka kelihatan mewah dan bergaya sehinggakan terpaksa menggadai keperluan rumah tangga yang lain," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Menyifatkan ia adalah 'fitrah' manusia setiap kali menjelangnya sesi persekolahan tahun baharu, beliau bagaimanapun berkata sifat itu perlu dibendung agar ibu bapa tidak menghadapi kesulitan atau menanggung bebanan hutang yang banyak.

Bagi menghadapi sifat kanak-kanak yang gemar meminta-minta barangan keperluan persekolahan yang berjenama pula, Prof Mariani berkata kanak-kanak sebenarnya mampu memahami kesulitan atau bebanan kewangan ibu bapa jika diterangkan secara jelas dan berhemah.

Justeru katanya, ibu bapa perlu mengambil pendekatan menjelaskan kepada anak mengenai berapa gaji mereka, keperluan keluarga lain seperti makanan dan bil supaya kanak-kanak faham kesulitan yang dihadapi ibu bapa dan mendidik mereka untuk berjimat cermat.

"Kanak-kanak mempunyai sifat yang lembut dan mudah dilentur, jika mereka mengetahui bebanan ibu bapa, mereka pasti kasihan dan akan sedikit sebanyak beralah.

"Selain itu boleh juga ditunjukkan kepada anak-anak cerita pengajaran tentang keluarga susah yang berkongsi kasut untuk ke sekolah, cerita sebegitu akan mendidik mereka bahawa lebih ramai lagi orang yang lebih susah," katanya.

Seorang ibu, Yusni Nadia Yusoff, 28, berkata oleh kerana anak sulungnya, Ikleel Yadiy Nayyar Iznan, 4, bakal memulakan sesi persekolahan tadika Januari ini, beliau memberi peluang anaknya itu memilih barangan berdasarkan watak kartun yang digemari untuk menyuntik semangat persekolahan.

"Memandangkan Ikleel baru sahaja nak melangkah ke alam persekolahan, jadi saya belikan dia barangan yang dia minati, supaya dia rasa seronok dan semangat nak ke sekolah.

"Namun saya akan pastikan barangan itu tidak terlalu mahal dan berpada-pada mengikut kemampuan selain mahu mendidik bahawa barangan sekolah yang berjenama tidak menjamin kecemerlangan di sekolah," katanya.

Jadia Harun, 38, yang mempunyai empat anak pula berkata beliau akan membeli keperluan persekolahan yang dirasakan perlu diganti sahaja manakala barangan yang masih elok akan digunakan semula.

"Macam buku dan alat tulis baharu tu memang akan dibeli...manakala beg sekolah atau kasut sekolah jika masih elok akan diguna.

"Termasuk juga baju sekolah, saya akan beli sehelai dua untuk dipakai bergilir-gilir dengan baju sedia ada yang masih elok," katanya.

Jadia berkata beliau bersyukur kerana kesemua anaknya yang berusia 8 hingga 17 tahun tidak kisah soal jenama sebaliknya menerima seadanya asalkan keperluan itu lengkap dan tidak mengganggu proses pembelajaran.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat beli-belah di ibu kota mendapati masih ramai ibu bapa memanfaatkan saat-saat akhir membeli keperluan persekolahan anak sebelum sesi persekolahan dibuka minggu hadapan.

Rata-rata ibu bapa yang ditemui memberitahu, mereka tidak mempunyai masalah dalam soal harga memandangkan pelbagai barangan persekolahan ditawarkan mengikut harga dan kemampuan masing-masing.- Bernama

Tiada ulasan: