MALAYSIAKINI
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan untuk membuat keputusan berhubung tindakan penggantungan permit akhbar mingguan The Heat dalam masa terdekat, selepas meneliti surat tunjuk sebab oleh penerbitan tersebut.Satu kenyataan dari KDN hari ini juga menjelaskan bahawa tindakan penggantungan permit untuk tempoh yang tidak dijelaskan itu juga hanya “untuk sementara”.
"Pada masa ini, Kementerian Dalam Negeri sedang meneliti jawapan surat tunjuk sebab yang dikemukakan dan akan memberi pertimbangan yang wajar dan adil terhadap penerbitan The Heat dalam masa terdekat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
"Ia bukanlah satu penggantungan kekal selaras dengan prosedur penguatkuasaan permit penerbitan yang ditetapkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 (Pindaan 2012)," kenyataan itu dipetik.
"Kementerian Dalam Negeri memandang berat terhadap tindakan dan cubaan pihak-pihak tertentu yang secara berterusan memburuk-burukkan kerajaan susulan penggantungan permit penerbitan The Heat," kata kenyataan itu lagi.
The Heat adalah mangsa terbaru Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 selepas KDN menggantung permitnya tanpa tempoh yang jelas.
Tindakan itu diambil selepas mingguan berita itu menerbitkan rencana muka depan bertajuk "All eyes on big-spending PM Najib" yang menonjolkan lawatan ke luar negara oleh Datin Seri Rosmah Mansor dan bayaran perunding cara yang mahal.
KDN bagaimanapun menafikan penyiaran rencana itu menjadi punca penerbitan itu digantung dan memberikan alasan "pelanggaran peruntukan permit penerbitan".
Susulan itu, satu perikatan longgar wartawan, editor dan aktivis media yang dinamakan Gerakan Media Marah (GERAMM) ditubuhkan untuk memprotes penggantungan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan