Saifuddin Abdullah  
Saifuddin (kanan) menyampaikan anugerah kepada pemenang pada majlis penganugerahan Koperasi Terbaik 2013 Wilayah Temerloh, semalam.


TEMERLOH – Kerajaan digesa melancarkan semula Model Baru Ekonomi sebagai langkah menyelesaikan sebahagian masalah kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat hari ini terutamanya prinsip keterangkuman dalam model itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, jika tidak dilancarkan semula sekurang-sekurangnya kerajaan perlu meningkatkan prinsip keterangkuman untuk membantu 40 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

Menurutnya, mungkin rakyat mengingati prinsip utamanya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi tetapi rakyat lupa prinsip yang lain antaranya untuk membantu 40 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

“Ia perlu dilancarkan semula supaya rakyat sedar sekali gus dapat membantu dalam menangani krisis ekonomi global yang semakin dirasai di negara ini,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Penganugerahan Koperasi Terbaik 2013 Wilayah Temerloh di Dewan Seri Mentakab, semalam.

Saifuddin berkata, cadangan melancarkan semula Model Ekonomi Baru itu turut disokong Institut Strategik Kepimpinan Asia (Asli) Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS), Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia dan banyak lagi agensi kerajaan yang lain.

Menurutnya, tindakan segelintir rakyat Malaysia yang berhimpun untuk marahkan kerajaan bukanlah kaedah terbaik, sebaliknya mereka boleh gunakan saluran wakil rakyat untuk menghantar memorandum kepada kerajaan.

“Salah satu kaedah lain ialah dengan menggembleng tenaga mengukuhkan institusi ekonomi seperti menyertai koperasi dan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk mengembangkan ekonomi di peringkat akar umbi.

“Memang berhimpun itu sebahagian daripada demokrasi tetapi isu kita hadapi sekarang ialah isu ekonomi dan bukannya isu politik. Isu ekonomi perlu ditangani dengan cara ekonomi,” katanya.