HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Disember 2013

RM500,000 jaya Program 4P bagi perkasa usahawan Selangor

Oleh : Lizawati Madfa


KLANG  : Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 500,000 pada tahun hadapan bagi menjayakan program 4P (Peningkatan Pengupayaan Pembungkusan Produk) dalam usaha memperkasakan bidang keusahawanan di Selangor.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Daroyah Alwi, berkata program yang dijayakan dengan kerjasama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) itu akan melibatkan 50 orang usahawan terpilih.

DSC_6668

Katanya, mereka yang terpilih berpeluang menimba latihan secara praktikal berkenaan proses pembungkusan produk yang bertaraf tinggi.

“Mereka akan diberikan khidmat nasihat, ujian nutrisi, reka bentuk pembungkusan, paten dan pensijilan halal daripada SIRIM.

“Sebenarnya kita juga sudah ada graduan daripada program 4P, yang mengaku bahawa hasil jualan mereka meningkat berkali ganda jika dibandingkan dengan keadaan sebelum adanya pembungkusan 4P,” kata Daroyah di hadapan lebih 100 hadirin.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Karnival Usahawan Peringkat Daerah Klang di Padang Taman Seri Kerayong, Kapar pagi tadi yang turut dihadiri Adun Meru, Dr Abdul Rani Othman.

Daroyah turut mengumumkan satu laman portal induk yang akan bertindak sebagai ‘One Stop Center’ kepada para usahawan di Selangor bakal dibangunkan pada tahun hadapan.

DSC_6635

“Kita akan pautkan semua portal peringkat jabatan dan agensi dengan portal induk ini dan diharap ianya akan dijadikan platform bagi semua aktiviti keusahawanan untuk memasarkan produk secara online mahupun bagi menguar-uarkan program dianjurkan.

“Dengan ini, aktiviti ekonomi negeri juga dapat dirancakkan apabila para pelanggan dapat berhubung dengan penjual tanpa orang tengah, seterusnya menjimatkan kos dan memberi lebih kuasa membeli kepada pelanggan atau pengguna,” katanya lagi.

Sejurus selesai berucap, beliau turut berkesempatan melawat kira-kira 100 buah gerai di sekitar tapak karnival walaupun dalam keadaan becak.

Antara aktiviti menarik sepanjang karnival ini ialah perlawanan futsal berkain pelekat, pertandingan memasak bubur lambuk di antara ketua-ketua kampung di sekitar daerah Klang dan program berbasikal sejauh 28 kilometer.EZY

Tiada ulasan: