HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Disember 2013

Demokrasi semakin tidak luhur – Pak Samad

HAZAYANI ZAKARIA 


KUALA LUMPUR: Seni sangat membantu dalam penyampaian sesuatu kisah benar untuk tatapan generasi ke generasi, kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Beliau berkata, semua kisah benar yang dialaminya dirakamkan dalam novel sebagai sejarah kepada generasi muda.

Antaranya ialah novel Hujan Pagi yang ditulis berdasarkan kisah benar beliau yang pernah berkhidmat sebagai wartawan.

"Zaman saya dahulu, saya meninggalkan beberapa buah buku. Kalau baca novel pertama saya, orang akan tahu itu tahun 30-an, masyarakat Melayu tinggal di Kampung Kambing.

"Dalam Sungai Mengalir Lesu, orang akan tahu kisah hidup di Singapura tahun 70-an bagaimana masyarakatnya harus mengutip bangkai di sungai untuk dimakan. Ini cerita benar tapi diperindah dengan seni.

"Waktu saya menjadi wartawan secara saya tidak sedar saya menjadi pencari makan tapi lama dalam dua dekad saya sedar saya bukan cari makan tapi saya dimakan.

"Dalam Hujan Pagi menceritakan bagaimana sebuah akhbar yang seharusnya memartabatkan demokrasi telah ditunggangi oleh kelompok tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta berucap di majlis Makan Malam dan Santai Seni anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) di Alang Sedayu, Gombak malam tadi.

Majlis itu diadakan bagi meraikan 15 pelajar Universiti Malaya (UM) yang berjaya menamatkan kursus penulisan skrip teater termasuk dua pelajar dari Bali dan seorang dari Bangladesh.

Samad yang mesra dipanggil Pak Samad juga berkata, beliau berasa bertanggungjawab untuk bersuara bagi mengubah demokrasi yang disifatkan sebagai semakin tidak luhur.

"Jika ada orang bertanya saya, Pak, buat apalah bapak ada di jalan raya (sedangkan) kita sudah memilih orang yang kita wakilkan untuk menjaga tanah air.

"Saya cakap, menurut Ahmad Boestamam, kuasawan hanya kuasa. Kuasa boleh digerakkan tapi kuasa juga harus berpihak.

"Dan kita berada dalam situasi yang sangat getir sekarang ini di mana walaupun kita menerima demokrasi kita sebenarnya tidak meluhurkan demokrasi.

"Buat apalah orang tua 81 tahun seperti saya harus bersusah payah berada di jalan raya untuk PPSMI, untuk Bersih 2 dan 3, buat apalah?

"Tapi saya fikir bahawasanya bila tak buat apa-apa kita tidak mengubah apa-apa," katanya.

Beliau juga berpesan kepada generasi muda agar menjadikan seni dan sastera sebagai medium bersifat mengubah dan menggerakkan.

Ujarnya, sastera dan seni harus digerakkan di jalanan untuk menyedarkan masyarakat tentang sesuatu perkara, bukan hanya dipersembahkan di atas pentas dan di dalam buku.

"Saya hanya bercakap berdasarkan apa yang saya alami dan saya merasakan bahawasanya sastera memang benar harus berwawasan tapi lebih besar kalau ia boleh merubah.

"Inilah antara tugas yang berevolusi yang saya lakukan bahawasanya sastera tidak lagi dalam buku, dan sastera tidak lagi di hadapan mikrofon dan sastera juga tidak harus hanya bergerak di atas pentas. Sastera sekarang harus berada di tengah jalan raya.

"Selalu anak muda tanya saya, Pak, apa yang harus kami lakukan? Saya beritahu, setiap orang ada peranannya sendiri. Kalau dia seorang deklamator dia mendeklamasikan puisi, seorang pendebat akan berdebat, seorang pensyarah dia akan bersyarah dan itu semua alat.

"Kita harus tahu bahawa seni yang cantik itu perlu mengubah dan tidak ada jalan lain untuk mengubah melainkan membawa seni itu ke jalanan," katanya.

Menurut beliau lagi, seniman muda berperanan menentukan bentuk kehidupan yang diinginkan mereka.

"Kita selalunya tidak bertanya mengapa di tanah air kita ini hanya sekelompok sahaja yang bersuara.

"Jarang kita bertanya itu sebab sebagai seniman kita fikir tugas kita hanya menulis sahaja. Rakam sahaja, orang baca, akhir tahun tunggu kalau-kalau ada royalti.

"Seniman menentang segala dari hati nuraninya selepas menatap realiti yang ada. Antara realiti yang ada ialah pemansuhan demokrasi.

"Zaman saya meninggalkan hanya warisan kepada anda semua. 50 tahun kelompok saya hanya berjuang dengan pena, mesin taip atau dengan ucapan.

"Sekarang zaman anda semua, zaman angkatan muda harus menentukan bentuk kehidupan. Kalau anda mahu terus menerus menjadi mangsa saya tidak boleh halang. Kalau anda mahu merubahnya saya merelakan," katanya.

Tiada ulasan: