HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Disember 2013

CAP cadang kubur untuk jangka panjang

 
SM Mohamed Idris berkata, cara pengurusan pengebumian di tanah suci seperti di Ma’ala atau Perkuburan Baqi’ di Madinah patut dijadikan contoh. 

 

Bahagian 2


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan agar diwujudkan satu kawasan tanah perkuburan khusus di mana setiap kawasan itu dirancang untuk jangka panjang.

Ia untuk keperluan  bagi beberapa generasi berdasarkan hukum dan cara yang betul mengebumikan mayat, bukan cara pengebumian yang penuh dengan kemegahan khurafat, dengan batu-batu nisan dan tembok kekal.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris  dalam satu kenyataan berkata, cara pengurusan pengebumian di tanah suci seperti di Ma’ala atau Perkuburan Baqi’ di Madinah patut dijadikan contoh.

Pada masa akan datang, apabila seseorang itu meninggal dunia, pihak pengurusan mayat mungkin akan bertanya pihak keluarga: “Nak ditanam di mana? Atau di mana kuburnya?

Kini sudah terbukti, isu tanah perkuburan bagi orang Islam semakin ketara menghadapi kekurangan ruangnya, malah ada kariah masjid yang tidak lagi membenarkan kariah luar menghantar mayat mereka ke tanah perkuburan mereka atas alasan tanah perkuburan tidak ada ruang lagi.

Laporan akhbar tempatan mendedahkan tanah kubur yang semakin tidak mencukupi yang dihadapi oleh penduduk Jelutong, Pulau Pinang sehingga ada yang sanggup menyimpan awal tanah perkuburan untuk diri mereka sendiri.

Di Kepala Batas, Pulau Pinang pula kekurangan tanah kubur menjadi salah satu masalah yang perlu dihadapi oleh penduduk setempat. Lokasi tanah perkuburan yang semakin sempit dan dipenuhi jenazah yang dikebumikan di lokasi yang sama lebih dari 100 tahun.

Keadaan ini menggambarkan betapa tanah-tanah di kawasan bandar kini semakin tidak mempunyai ruang untuk dijadikan kawasan perkuburan, sedangkan kawasan yang masaih ada dibolehkan pula untuk membina bangunan bertingkat, kawasan perumahan, bangunan kedai dan kilang.

Persoalan kita sekarang ialah apa akan jadi dalam tempoh sepuluh atau dua puluh tahun akan datang dalam pengurusan mayat di negara ini sekiranya tanah perkuburan yang ada semakin sempit atau kehabisannya?

Mengikut hierarki penempatan, keluasan tanah perkuburan setiap satu kawasan kejiranan ialah 5,000 ke 10,000 orang, memerlukan tanah seluas 1-2 hektar.

Oleh yang demikian, CAP mencadangkan agar diwujudkan satu kawasan tanah perkuburan khusus di mana setiap kawasan itu dirancang untuk jangka panjang bagi beberapa generasi berdasarkan hukum dan cara yang betul mengebumikan mayat, bukan cara pengebumian yang penuh dengan kemegahan khurafat, dengan batu-batu nisan dan tembok kekal.

Upacara memuja

Membina makam dengan konkrit simen, dengan ruang yang dibeli, perhiasan batu tanda dan lain-lain bukanlah perkara betul. Begitu jugalah apabila dibuat upacara memuja keramat dan wali.

Di seluruh negara sekarang ini tanah perkuburan berselerak, tidak teratur, tidak tersusun. Ada kariah-kariah yang tidak seimbang keluasan tanah perkuburan dengan bilangan anak kariah, sama ada terlampau sedikit atau banyak.

Pengurusan kawasan tanah perkuburan hendaklah dirancang, diurus dengan betul agar dapat mewujudkan satu pengurusan mayat bertaraf nasional yang dapat mengatasi masalah jarak antara kawasan serta menjimatkan pembinaan kawasan perkuburan.

Dengan adanya satu kawasan perkuburan khusus bagi peringkat negeri dan daerah, ia dapat diselaraskan dalam semua urusan, misalnya dari segi pengurusan mayat sehingga tapak perkuburan. Ia juga dapat menjimatkan tanah.

Untuk jangka panjang, kita dapat membentuk masyarakat ke arah pengebumian yang betul mengikut sistem dan hukum. Antara salah satu syarat, di tanah perkuburan itu tidak boleh dibina tembok atau batu nisan yang melampau.

Ia juga dapat mengelak daripada berlakunya penyembahan khurafat, nazar dan perbuatan bidaah dan juga pemujaan, kerana ia diawasi oleh badan yang diamanahkan.

Selain itu ia juga dapat melenyapkan sikap berkasta, status dan darjat daripada kaum keluarga atau waris. Ia juga dapat mengembalikan satu

kaedah hukum pengurusan jenazah yang betul bagi peringkat negara.

CAP menggesa pihak berkuasa yang berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah kawasan tanah perkuburan yang semakin tidak mencukupi agar tidak lagi menimbulkan masalah di masa akan datang.

Tiada ulasan: